JKJAV pantau risiko miokarditis, perikarditis selepas suntikan Pfizer - Utusan Malaysia

JKJAV pantau risiko miokarditis, perikarditis selepas suntikan Pfizer

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kerajaan sedang memantau perkembangan kesan sampingan suntikan vaksin jenis Pfizer yang dikatakan boleh mengundang risiko miokarditis dan perikarditis.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, isu risiko itu telah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV).

“Isu berkenaan bagaimanapun tidak mengubah keputusan perolehan kerajaan terhadap vaksin Pfizer itu,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau juga akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung penggunaan vaksin Pfizer kepada pelajar kelas peperiksaan.

“Kita akan tentukan kemudian sama ada ingin beri vaksin jenis Pfizer atau tidak kepada pelajar berkenaan.

“Ini disebabkan insiden miokarditis dan perikarditis dalam kalangan remaja lelaki agak tinggi. Sebab itu, selepas ini akan ada mesyuarat antara saya, KKM dan KPM untuk bincang perkara tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, keputusan untuk memendekkan selang dos kedua vaksin jenis AstraZeneca akan diumumkan esok.

Berhubung cadangan kaedah ‘mix and match’ vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca, beliau berkata, kerajaan buat masa ini masih mengekalkan vaksin sama bagi dos pertama dan kedua dan keputusan mengenainya akan diumumkan selepas kajian selesai.

Sementara itu, Khairy berkata, Malaysia bakal menerima satu juta dos vaksin Astrazeneca sumbangan kerajaan Jepun esok dan satu juta lagi vaksin Pfizer dari Amerika Syarikat pada Jumaat ini.

Menurutnya, Malaysia amat mengalu-alukan dan menghargai sumbangan berkenaan yang melambangkan keprihatinan serta kepercayaan kedua-dua negara itu terhadap kerajaan Malaysia dalam usaha memerangi Covid-19 di negara ini dan sebagai sokongan terhadap program imunisasi global.

“Bekalan ini dapat memperhebat PICK dan membantu Malaysia mencapai nilai ambang yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Semua vaksin yang diperoleh akan diedarkan segera ke semua fasiliti dan PPV untuk kegunaan PICK dalam masa terdekat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya