KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Sabah tidak melihat kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan hujung tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, Perdana Menteri tidak seharusnya terburu-buru membubarkan Parlimen hanya kerana gentar dengan bayang-bayang sendiri hingga mempertaruhkan nyawa rakyat sekali lagi.
“Kita harus belajar daripada apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada September tahun lalu. Kita telah menasihat Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal agar jangan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana nyawa rakyat akan menjadi pertaruhan akibat penularan Covid-19.
“Tentunya Shafie dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menyumbang kepada kes positif ratusan ribu serta ribuan kematian akibat pademik itu,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya,, kerajaan perlu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) agar pelan pemulihan ekonomi dapat dijayakan dan hanya itu jalan keluar yang ada.
“Sekiranya hendak mengadakan PRU-15, kerajaan perlu memastikan imuniti kelompok 80 peratus itu sudah dicapai, sektor ekonomi sudah dibuka seperti biasa dan kemukakan data yang jelas bahawa PRU-15 tidak memudaratkan keselamatan dan kesihatan awam.
“Namun berdasarkan keadaan semasa, dengan purata dos 189,329 sehari, kita akan gagal untuk mencapai sasaran tersebut pada hujung tahun ini,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor, Datuk Osman Sapian menyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memberi bayangan bahawa PRU-15 mungkin diadakan menjelang akhir tahun. – UTUSAN ONLINE










