Jadikan program baca puisi tarikan pelancongan - Utusan Malaysia

Jadikan program baca puisi tarikan pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Program kesusasteraan  seperti pengucapan puisi boleh dijadikan platform yang sesuai bagi menarik kedatangan pelancong ke negara ini seperti yang dilakukan di luar negara.

Menegaskan perkara itu  Menteri Pelancongan,  Seni dan Budaya, Datuk Nancy Shukri berkata,  acara kesusasteraan seperti puisi sebagai salah satu seni persembahan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat yang juga secara tidak langsung akan menggerakkan aktiviti pelancongan domestik.

“Menyedari hakikat ini, sudah sampai masanya bidang pusi diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Ini bagi memartabatkan bidang puisi secara lebih luas, misalnya dengan mewujudkan satu hari khusus untuk pemuisi, “ kata beliau dalam  ucapan sempena program Semarak Puisi dan Majlis Perisytiharan Hari Puisi Malaysia (HPM) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka serta Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) secara maya hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Noor Zari  Hamat. Pada majlis itu beliau mengisytiharkan 13 Jun setiap tahun sebagai Hari Puisi Malaysia.

Nancy berkata, oleh kerana puisi mempunyai pengaruh luas dalam masyarakat, maka bidang tersebut wajar diangkat menjadi wadah pengucapan yang dapat menyumbang ke arah pembangunan rohani dan sosial

Katanya,  pemuisi merupakan golongan yang mempunyai keistimewaan dengan jiwa yang halus, mempunyai kemahiran semula jadi, menikmati sambil memerhati lalu menterjemah apa yang dilihat, dirasai, dan dialami dalam bentuk puisi. 

Menurutnya, ilham yang tumbuh dalam lubuk jiwa pemuisi menjadi idea yang bercambah dan kemudian digarap dalam karya untuk ditatap dan dibaca oleh seluruh masyarakat. 

“Seperti mana yang kita sedia maklum, khalayak puisi bukan lagi terdiri daripada penggiat dan peminat kesusasteraan sahaja, malah telah melangkaui golongan pemimpin negara, pemimpin masyarakat dan tokoh korporat. Beberapa orang bekas Perdana Menteri kita sendiri pernah menulis dan menyampaikan puisi sehingga memukau rakyat di seluruh negara, “ ujar beliau. 

Sebagai rekod masyarakat di seluruh dunia termasuk Malaysia menyambut Hari Puisi Sedunia pada 21 Mac setiap tahun selepas diisytiharkan pada Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) ke-30 di Paris pada 1999. 

Namun sehingga kini, masih belum ditetapkan satu hari khusus sebagai Hari Puisi peringkat nasional di Malaysia. Di Indonesia telah wujud Hari Puisi Nasional yang disambut pada setiap 28 April. Begitu juga di beberapa buah negara lain di dunia. 

Dalam pada itu  Penaung Pemuisi, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, puisi adalah medium pengucapan rasa, idea dan pemikiran yang perlu diberi kedudukan sewajarnya agar dikenali oleh generasi baru dari semasa ke semasa. 

“Puisi kata beliau bukanlah satu genre asing dalam masyarakat Melayu kerana sejak zaman dahulu sebelum adanya sastera tulisan, puisi telah sebati mengisi kehidupan masyarakat Melayu lama,” ujar beliau.

Puisi tradisional kata beliau lagi seperti pantun dan bahasa berirama kerap dituturkan dalam majlis pertunangan, majlis sambut menantu malahan aneka majlis keramaian yang lain.

Sempena program tersebut , beberapa Sasterawan Negara  yang juga merupakan penasihat Pemuisi turut membacakan puisi masing-masing iaitu  Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh dengan judul Aku Penyair, Datuk Dr. Anwar Ridhwan (Paus), Datuk Dr. Zurinah Hassan (Ketika Alam Menangis) dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail (Malam Sunyi Kota Raya).

Sementara itu menurut Pengarah Majlis Pelancaran Hari Puisi Malaysia 2021 Letfee Ahmad, antara yang menyertai program tersebut adalah beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) seni sastera tempatan daripada  Gapena, Pena, Numera Malaysia, Penyair, Bahasa Sabah dan  Kelab Penyair Deklamator Malaysia,

“Pada malam ini akan berlangsung Semarak Puisi iaitu beberapa pemuisi terkenal tempatan akan membacakan puisi masing-masing secara maya bermula pukul 9 malam menerusi media sosial DBP, “ ujar Letfee.

 

Pohon berangan tepian lemuni,

Bunga raya penghias laman

Puisi dikarang gubahan berseni

Pelangsung budaya zaman-berzaman.

-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya