Hishammuddin bakal sertai sidang kerjasama BRI - Utusan Malaysia

Hishammuddin bakal sertai sidang kerjasama BRI

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka berkongsi pandangan mengenai isu pembangunan hijau dalam konteks Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Perkara tersebut antara isu yang bakal disentuh oleh beliau ketika menyertai Persidangan Peringkat Tinggi Asia Pasifik mengenai Kerjasama BRI diadakan secara maya hari ini.

“Beliau antara peserta yang diberi peluang menyampaikan ucapan dalam persidangan itu atas undangan daripada Menteri Luar China, Wang Yi,” kata kenyataan Kementerian Luar di sini.

Persidangan tahunan ini akan memberi tumpuan kepada usaha memacu kerjasama sejagat bagi memastikan agihan vaksin yang lebih adil, terbuka dan tanpa berlaku sebarang diskriminasi.

Acara yang disertai lebih 30 peserta termasuk wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu turut mempromosikan usaha pembangunan hijau ke arah pencapaian pembangunan mapan.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, Hishammuddin turut dijangka menyentuh kepentingan dalam mencapai keseimbangan kesihatan awam dan menangani cabaran wabak Covid-19.

“Beliau juga akan berkongsi mengenai cabaran semasa dalam pengagihan vaksin secara adil dan kaedah memantapkan daya tahan negara berdepan pandemik masa hadapan,” katanya.

Sejajar tema persidangan iaitu ‘Mempromosikan Kerjasama Melawan Wabak Demi Pemulihan Lestari’, beliau juga akan menyentuh sasaran Matlamat Pembangunan Mapan anjuran PBB.

Pandemik yang sudah berlarutan lebih setahun itu ujar Wisma Putra, telah menyukarkan seluruh dunia, namun, Malaysia percaya dengan sumbangan idea inovatif dan strategi hijau.

Justeru, Hishammuddin yakin negara-negara rantau Asia Pasifik akan berupaya untuk bangun daripada kesukaran dan mampu bergerak ke arah mencapai pembangunan yang mapan.

Malaysia dan China telah menandatangani Memorandum Persefahaman bagi Menggalakkan Pembangunan Ekonomi Bersama melalui dua inisiatif BRI dimeterai pada 13 Mei 2017 lalu.

“Ia meliputi Jalur Ekonomi Laluan Sutera dan Inisiatif Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 sekali gus menyaksikan jumlah perdagangan naik 4.2 peratus pada 2020 lalu,” kata kenyataan itu.

Peningkatan kepada RM329.77 bilion itu disumbangkan kenaikan eksport ke negara tersebut sebanyak 12.5 peratus dan China terus kekal destinasi eksport terbesar Malaysia sejak 2008. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya