Harga purata harian sayuran asas turun - Utusan Malaysia

Harga purata harian sayuran asas turun

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menolak kemungkinan berlaku gangguan bekalan untuk pasaran dan rangkaian pasar tertentu melibatkan pembekalan sayur dari Cameron Highlands.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tanah tinggi itu melibatkan kawasan pertanian seluas 1,500 ekar seperti yang diumumkan pada 12 Jun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua bahagian di bawah kementerian itu diarahkan mengambil langkah perlu bagi memastikan pelaksanaan PKPD itu hanya memberi impak minima serta sementara dan dijangka tidak menggangu bekalan sekali gus harga barang keperluan terutama sayur-sayuran dari kawasan tersebut.

Bagaimanapun, jelas beliau, Bahagian Harga Barang Negara (BHBN), KPDNHEP menjalankan analisa dan mendapati berdasarkan data harga semalam, perubahan harga purata harian sayuran yang dilaporkan dalam dua media tempatan seperti tomato, timun, kubis, kacang buncis berbanding sehari sebelumnya menunjukkan penurunan.

“Contohnya seperti tomato (-2.16 peratus), capsicum kuning (-0.13 peratus) capsicum merah (-1.47 peratus), kubis bulat tempatan (-0.86 peratus) dan buncis (-0.67 peratus).

“Kenaikan harga sayur sedikit dicatatkan bagi timun 1.01 peratus dan capsicum hijau 0.36 peratus. Sayuran seperti timun Jepun dan daun salad tidak dipantau kementerian kerana dikategorikan sebagai barangan bukan keperluan asas pengguna,” katanya hari ini.

Pada masa sama, Alexander berkata, KPDNHEP melalui penguat kuasa di seluruh negara khususnya di Pahang dan Perak akan memantau secara berterusan kedudukan bekalan dan harga bagi jenis-jenis sayur tertentu yang biasanya dibekalkan pekebun-pekebun dari Cameron Highlands itu.

Beliau berkata, KPDNHEP melaksanakan kuasa yang diberikan seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak ke paras yang tidak munasabah.

Katanya, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut terutama di dalam situasi semasa ketika ini.

“Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi suatu perbadanan atau syarikat.

“Bagi bukan perbadanan atau individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Alexander turut menasihatkan pengguna tidak panik dan membeli barangan mengikut keperluan sahaja.

Katanya, maklum balas berkaitan bekalan dan harga boleh disalurkan kepada Kementerian menggunakan saluran aduan yang disediakan untuk tindakan selanjutnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN