Dua kilang dikenakan kompaun gagal patuhi SOP - Utusan Malaysia

Dua kilang dikenakan kompaun gagal patuhi SOP

KAMARUL Zaman Mamat (dua kanan) bersama pegawainya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kilang kitar semula di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, semalam. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua kilang yang beroperasi di daerah ini dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hasil pemeriksaan yang dijalankan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dua kilang terbabit melibatkan sebuah kilang kitar semula yang beroperasi di Taman Ria Jaya manakala sebuah lagi kilang memproses makanan di Bedong di sini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati pihak pengurusan kilang terbabit gagal mematuhi SOP tersebut seperti tidak mengamalkan penjarakan sosial, tidak menyediakan cecair pembasmi kuman, alat pengimbas suhu dan mengambil butiran pekerja.

“Dua buah kilang terbabit juga telah diarah supaya ditutup dan memberhentikan operasi dengan serta-merta.

“Sementara itu, kompaun pula dikeluarkan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) No. 4 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada pemeriksaan yang bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang itu, sebanyak 35 buah kilang di Kawasan Perindustrian Bakar Arang,Taman Ria Jaya (PKNK), Gurun dan Bedong di sini diperiksa bagi memastikan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dipatuhi.

Pemeriksaan itu diketuai oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Adzli memberitahu, pemeriksaan itu membabitkan seramai 35 pegawai dan anggota daripada pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dibantu anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Jelasnya, pihaknya akan sentiasa membuat pemeriksaan ke atas kilang di daerah ini secara berkala bagi memastikan pemilik kilang mematuhi SOP dan arahan yang ditetapkan.

“Kita turut memberi nasihat kepada pemilik kilang supaya mendapat surat kebenaran terkini daripada MITI dan tidak menggunakan surat permohonan sebelum ini untuk membolehkan mereka beroperasi,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN