SHAH ALAM : Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang bermula 1 Jun lalu menyebabkan seorang deejay, Abu Bakar Latif,47, dari Kampung Padang Jawa di sini, beroperasi secara maya menerusi Facebook (FB)secara siaran langsung (FB Live) pada pukul 9 malam dua tiga kali seminggu.
Menurut Abu Bakar yang dikenali sebagai Deejay Burn, sebelum ini dia bekerja memainkan lagu pilihan pelanggan untuk sesi karaoke di sebuah restoran di Batu Tiga Shah Alam.
“Setelah arahan sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan, sesi karaoke di restoran tidak dibenarkan pihak berkuasa.
“Bagi mengubat kerinduan peminat, saya hanya bersiaran memainkan lagu kegemaran peminat melalui FB Live sahaja.Setakat ini sambutan menggalakkan dari rakan FB yang juga pelanggan saya,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Jawa hari ini.
Deejay Burn berkata, sebagai rakyat yang patuh kepada undang-undang negara beliau mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Namun katanya, sebagai Deejay dan pengacara di majlis kenduri kahwin, PKP 3.0 menyebabkan rezekinya seakan tertutup.
“Mungkin kerajaan boleh memberi bantuan moratorium dan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi , i-Sinar.
“Duduk di rumah bil elektrik boleh melambung. Jika tidak bekerja bagaimana hendak dijelaskan semua bil tersebut,” katanya.
Katanya lagi, bagi menjimatkan kos elektrik dia hanya bersiaran dua tiga kali seminggu di FB Live.- UTUSAN ONLINE










