Cedera langgar kawat duri ketika cuba keluar kawasan PKPD - Utusan Malaysia

Cedera langgar kawat duri ketika cuba keluar kawasan PKPD

KAWAT duri pada penghadang jalan yang dilanggar seorang lelaki ketika cuba menyelinap keluar dari kawasan PKPD di Jalan Tenglu Laut, Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seorang lelaki yang disyaki cuba menyelinap keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) cedera selepas motosikal ditungganginya melanggar kawat duri yang dipasang di Jalan Tenglu Laut, di sini malam tadi.

Pegawai Daerah Mersing merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mersing, Mohd. Radzi Mohd. Amin berkata, pihak polis menerima laporan kejadian itu pada pukul 9.25 malam.

“Polis Mersing telah menerima maklumat tentang satu kejadian di mana seorang lelaki menaiki motosikal telah merempuh penghadang jalan dan kawat duri di Jalan Tenglu Laut, malam tadi.

“Mangsa merupakan lelaki berusia 27 tahun berasal dari salah sebuah kampung dalam kawasan PKPD menunggang motosikal seorang diri dipercayai cuba untuk keluar dari kawasan itu dengan melalui jalan yang telah ditutup oleh pihak berkuasa sebelum melanggar kawat duri pada penghadang jalan yang dipasang,” katanya di sini, hari ini.

Berikutan itu, Mohd. Radzi berkata, lelaki berkenaan mengalami cedera luka pada beberapa bahagian dan telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akan di kompaun di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana keluar dari rumah atau kawasan PKPD tanpa alasan yang munasabah.

Jelasnya, masyarakat yang berada di kawasan dikenakan perintah PKPD digesa agar sentiasa tenang, bersabar dan mematuhi arahan serta prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Patuhi SOP ditetapkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan mencegah daripada merebaknya pandemik Covid-19 di kawasan masing-masing,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN