Bukan masa untuk ‘cuba-cuba’ - Utusan Malaysia

Bukan masa untuk ‘cuba-cuba’

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kajian mengenai konsep ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid perlu melibatkan semua parti yang menjadi anggota Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kajian berkenaan mesti mempunyai satu garis masa yang terperinci dan dilakukan secara cepat.

Katanya, kajian tersebut harus memastikan semua pihak boleh mendapatkan layanan, ruang dan peluang yang sama untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen.

“Sekarang ini Parlimen adalah milik ahli Parlimen daripada pembangkang dan kerajaan. Ia bukanlah milikan mutlak kerajaan sahaja.

“Apabila kita sudah hilang keyakinan pada kerajaan, perkara itu perlu dibincang oleh semua ahli Parlimen,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Jumaat lalu, akhbar melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sedang mengkaji konsep ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid selepas pihaknya me­ngadakan mesyuarat secara maya bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara dan Timbalan-timbalan Yang Dipertua.

Namun, Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, sidang Parlimen sepatutnya diadakan secara fizikal kerana sidang secara hibrid berkemungkinan menimbulkan pertikaian siapakah yang menentukan ahli Parlimen yang boleh hadir secara fizikal dan maya.

Katanya, persoalan yang timbul ialah adakah mereka yang hadir secara maya dapat menunaikan dan menjalankan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dengan sepenuhnya.

“Jangan mereka yang hadir secara fizikal sahaja boleh menjalankan tugas, tetapi secara maya tidak boleh. Bukan sahaja mendengar, bahkan berucap juga mungkin tersekat. Kita tidak mahu mereka yang hadir secara maya itu terkongkong,” katanya.

Senada dengan beliau, Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Wa­risan) yang juga ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, sidang Parlimen secara fizikal lebih diperlukan kerana dalam keadaan krisis, kerajaan perlu serius untuk memerangi wabak apabila kerajaan secara nyata gagal untuk mengawalnya.

MOHD. AZIS JAMMAN

Katanya, setiap pandangan ahli-ahli Parlimen juga perlu didengar berikutan lain kawasan lain masalahnya.

“Sidang secara hibrid juga belum pernah dicuba di negara kita dan tidak diketahui keberkesa­nannya. Maka, dalam kita berdepan musibah ini, bukan masanya untuk kita ‘cuba-cuba’ namun perlu kepada penyelesaian drastik dise­babkan terlalu ramai terkesan sehingga hilang pekerjaan, perniagaan gulung tikar dan ekonomi negara semakin parah.

“Perlu ada semak dan imbang dalam kerajaan membelanjakan duit untuk memerangi Covid-19. Berbilion ringgit dibelanjakan namun hasilnya amat mengecewakan,” katanya.

Tambah beliau, perbincangan dan perbahasan secara konvensional perlu dilakukan kerana kerajaan perlu menjawab banyak persoalan yang timbul sehinggakan rakyat sudah hilang keyakinan terhadap cara kerajaan mengurus tadbir negara.

“Banyak negara yang membuka Parlimen sewaktu pandemik, jadi kenapa tidak di Malaysia? Ini adalah waktu krisis dan kerajaan sepatutnya lebih serius dalam menghadapinya.

“Buka Parlimen dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti mana sesi pembukaan Parlimen yang terakhir sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pembukaan semula Parlimen sangat dialu-alukan dalam bentuk apa sekalipun.

“Ia merupakan medium untuk menggembleng tumpuan fokus perbincangan dan percambahan idea bagaimana hendak melawan Covid-19 secara satu pasukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN