PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai bahagian perolehan di sebuah kementerian kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM150,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek bernilai RM2.6 juta.
Menurut sumber, kes berkenaan susulan siasatan dilakukan terhadap penolong setiausaha bahagian kementerian itu dan pemilik serta pengurus syarikat yang ditahan sejak 21 Jun lalu.
Katanya, hasil siasatan itu membongkar kegiatan sindiket berkenaan yang dipercayai membolot 22 projek berjumlah RM135 juta di kementerian tersebut sejak 2017 hingga kini.
“Ini termasuk projek berkaitan penahanan suspek hari ini yang mana projek bernilai kira-kira RM2.6 juta tersebut merupakan projek pembekalan kelengkapan menyelam bagi sebuah agensi penguat kuasa.
“Sindiket ini juga dipercayai mengupah pihak lain pula untuk mengendalikan projek-projek tersebut,” katanya semalam.
Jelas sumber lagi, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Suspek kini direman tiga hari bermula hari ini hingga 28 Jun untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas SPRM membuat permohonan berkenaan pagi ini.
Pada 21 Jun lalu, empat pemilik syarikat kejuruteraan marin direman SPRM kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan marin di agensi penguat kuasa sama yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.
Susulan itu, seorang penolong setiausaha bahagian kementerian tersebut telah ditahan pada keesokan harinya dan diikuti penahanan seorang pengurus syarikat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE










