PUTRAJAYA: Pembentukan kerajaan darurat boleh dilakukan jika pindaan dibuat kepada Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menetapkan bentuk kerajaan pada masa darurat seperti yang ada sekarang.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ia juga tertakluk kepada persetujuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meminda ordinan mengikut struktur kerajaan darurat seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman.
Beliau berkata, Perdana Menteri mempunyai kuasa eksekutif mengawal selia ordinan dan menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi mewujudkan satu struktur baharu kerajaan.
Menurut beliau, cadangan Azalina untuk menubuhkan kerajaan darurat itu agak sama dengan senario darurat 1977 di Kelantan apabila Majlis Gerakan Negara (Mageran) mengambil alih kerajaan Kelantan dan jawatankuasa serupa juga semasa darurat 1969.
“Pada pandangan saya, struktur yang ada sekarang masih boleh berfungsi dengan baik kerana itu yang dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong apabila mengisytiharkan darurat tahun ini dan dituruti dengan Ordinan Darurat.
“Ordinan Darurat 2021 dengan jelas menyebut tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen bila Seri Paduka Baginda rasa sesuai. Namun, sidang hanya boleh dipanggil apabila Leader of the House iaitu Perdana Menteri bersetuju untuk berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ahmad Kamal berkata, berhubung cadangan Azalina untuk memanggil sidang Parlimen, syarat-syarat khas kandungan perbahasan serta isu-isu yang boleh dibahas dan diundi yang terhad boleh dilaksanakan.
Beliau menjelaskan, sidang dan tatacara persidangan adalah di bawah peraturan Dewan Rakyat dan boleh dipersetujui secara konsensus dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat, namun kesemuanya tertakluk kepada persetujuan kerajaan pimpinan Perdana Menteri sekarang.
“Kalau kita lihat di bawah Ordinan 2021 ada peruntukan Jawatankuasa Khas untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai keperluan diteruskan darurat atau tidak.
“Ahli2 Jawatankuasa Khas yang dilantik termasuk wakil parti pembangkang boleh memainkan peranan penting dalam menasihati Seri Paduka Baginda dan kerajaan mengenai isu-isu pandemik dan bagaimana darurat dapat digunakan sepenuhnya untuk tujuan menangani pandemik.
“Cuma kuasa Jawatankuasa Khas ini terhad dan tidak merangkumi isu-isu governan dalam kerajaan sedia ada,” katanya.
Baru-baru ini, Azalina mencadangkan sebuah kerajaan darurat ditubuhkan dan perlu mempunyai kerjasama daripada semua parti politik dengan dianggotai sesiapa yang berkelayakan dan mempunyai kepakaran.
Ahli Parlimen Pengerang itu juga berpendapat pembukaan Parlimen perlu kerana dapat membantu kerajaan menangani isu pandemik Covid-19 yang dilihat dapat membantu dari aspek pengurangan kes positif selain meningkatkan kefahaman rakyat berkaitan wabak itu. – UTUSAN ONLINE










