Bangun vaksin secara serius, libatkan pelbagai pihak - Utusan Malaysia

Bangun vaksin secara serius, libatkan pelbagai pihak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia juga mampu menjadi pengeluar vaksin halal terbaik dan berkualiti serta berpotensi mengeksport ke negara lain menerusi penglibatan syarikat pembekal, penyelidik dan pakar perubatan.

Presiden Persatuan Farmasi, Amrahi Buang berkata, namun pembangunan vaksin perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan tidak seperti ‘melepaskan batuk di tangga’.

“Kita perlu ingat pembangunan vaksin melibatkan kos pelaburan yang sangat tinggi. Jika kita hanya mengharapkan satu pihak, ia agak sukar. Universiti tiada duit dan kita perlu gabungan pelbagai pihak.

“Jika boleh apabila vaksin berkualiti dan halal berjaya dihasilkan nanti, kita mahu ia dieksport ke negara lain seperti Arab Saudi atau negara Asia Barat lain. Ini sekali gus bukan sahaja memberi kebaikan kepada sektor kesihatan tetapi kepada sektor ekonomi negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri. Dr. Adham Baba berkata, Malaysia sedang membangunkan dua jenis vaksin Covid-19 yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan.

Menurut beliau, dia jenisi vaksin itu ialah utusan asid ribonukleik (mRNA) dan vaksin nyahaktif terhadap Covid-19 atau inactivated vaccine.

Tambah Amrahi, Malaysia juga boleh bekerjasama dengan negara Asia Tenggara bagi menghasilkan vaksin sendiri, sekali gus menjadi hab pembekal vaksin di rantau ini.

Dalam pada itu, Pensyarah Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, apa yang lebih penting pada masa sekarang adalah komitmen kerajaan bagi memastikan industri pembangunan vaksin dijadikan industri strategik yang mesti diselaraskan sama ada dalam perancangan jangka pendek atau panjang.

“Sudah semestinya pembangunan ini memerlukan jalinan pelbagai pihak supaya vaksin yang dihasilkan mampu memenuhi keperluan rakyat di negara ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN