MELAKA: Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong membangkitkan percanggahan fakta dalam kenyataan media Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berhubung isu saman yang dikeluarkan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Angkasa Nuri, Batu Berendam dekat sini terhadap seorang individu pada 13 Jun lalu.
Poay Tiong berkata, isu yang berbangkit adalah wanita tersebut menetap di Taman Desa Idaman, Durian Tunggal dan pada hari kejadian, dia sedang menuju ke sebuah pasar raya di Taman Angkasa Nuri yang mana kedua-dua lokasi tersebut terletak dalam daerah Alor Gajah.
Katanya, individu berkenaan dikatakan merentas daerah kerana jalan menuju ke pasar raya terletak di sempadan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.
“Perenggan ketiga menyatakan bahawa semasa ditahan di SJR, individu tersebut dikatakan memberitahu ingin ke rumah kakaknya di Taman Merdeka tanpa menyatakan mahu pergi ke pasar raya bagi mendapatkan barang keperluan harian. Bagaimanapun, individu tersebut tidak mempunyai kakak yang tinggal di Taman Merdeka.
“Individu tersebut turut memberitahu pegawai polis yang bertugas di SJR bahawa dia hendak ke pasar raya untuk membeli barang keperluan asas dan setelah selesai akan pergi ke rumah adik perempuannya di Taman Angkasa Nuri bagi tujuan menyampaikan bekalan ubat.
“Adiknya tidak boleh keluar rumah kerana perlu menjaga dua orang anak kecil dan dia telah menunjukkan ubat dan menjelaskan perkara tersebut kepada pegawai polis berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, polis mempersoalkan tujuan seorang wanita yang meminta campur tangan wakil rakyat susulan dikenakan kompaun RM5,000 dan tindakan itu dilihat sebagai cubaan mencalarkan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengenai rayuan untuk mengurangkan kompaun, Poay Tiong menambah, ia telah dibuat, namun Pegawai Kesihatan Daerah hanya bersetuju untuk mengurangkan kompaun kepada RM2,500 sahaja.
Katanya lagi, nilai berkenaan masih tinggi lantas memberi tekanan besar kepada wanita itu.
“Saya berharap semua pihak dapat membuat pertimbangan selanjutnya. Selesaikan perkara ini secara adil dan berpatutan dengan mengambil kira penjelasan-penjelasan yang telah diberikan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










