SEREMBAN: Sebanyak lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini berhubung hantaran di akaun Facebook Love From LGBTQ Malaysia yang dilihat menggunakan kalimah Allah dan menghina Islam.
Antara NGO terbabit ialah Gagasan Aspirasi Pembangunan Ekonomi Nasional (Gapen) Malaysia, Pertubuhan Al Ehsan Negeri Sembilan, Pertubuhan Amal Kebajikan Negeri Sembilan, dan Pertubuhan Kebajikan Imam Semalaysia.
Kesemua NGO terbabit yang diketuai oleh Presiden Gapen Malaysia, Abdul Rahim Omar membuat laporan polis berkaitan perkara itu pada pukul 11 pagi tadi di IPD Seremban, Seremban 2.
Abdul Rahim berkata, laporan itu dibuat selepas pihak mereka terkesan dan kecewa dengan kenyataan berunsurkan menghina Islam di akaun Facebook Love From LGBTQ Malaysia.
“Setelah saya baca dan lihat di akaun Facebook tersebut (Love From LGBTQ Malaysia) didapati mereka telah menghina agama Islam dengan memuat naik tulisan Allah is Gay dan ada juga Kaabah yang memperlihatkannya berwarna-warni.
“Selain itu, terdapat juga gambar dua orang lelaki sedang bercumbuan di atas Kaabah berwarna-warna dan ini jelas menunjukkan Facebook ini menghina Islam,” katanya selepas membuat laporan polis di sini hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Rahim berkata, beliau mewakili rakyat Malaysia beragama Islam dan NGO di Negeri Sembilan berharap tindakan diambil ke atas pihak tersebut dan siasatan segera dijalankan.- UTUSAN ONLINE










