PETALING JAYA : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas jurulatih pasukan hoki wanita negara, William Fidelis yang meninggal dunia semalam.
Istana Negara hantaran Facebook memaklumkan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu tersebut.
“Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang, khususnya kepada pasukan hoki negara serta menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada sukan hoki negara,” titah Al-Sultan Abdullah.
Mendiang yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun juga bekas pemain hoki Negeri Sembilan pada era 60-an dan 70-an.
Beliau merupakan jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan yang membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan SEA dan gangsa pada kejohanan Piala Antara Benua, kedua-duanya pada 1983.
Fidelis juga pernah membimbing skuad hoki lelaki Negeri Sembilan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2000 dan merupakan individu yang sangat aktif dalam bidang kejurulatihan apabila mula menceburinya sejak 1963 sebelum bersara pada 2005.- UTUSAN ONLINE










