95 peratus tentera di Sabah divaksin - Utusan Malaysia

95 peratus tentera di Sabah divaksin

Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) meninjuau proses vaksinasi pandu lalu Tentera Darat Malaysia di Kem Tentera Lok Kawi hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Seramai 10,400 atau 95 peratus anggota tentera di Sabah telah divaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan perkembangan ini, imuniti kelompok dalam kalangan anggota tentera di Sabah akan dapat dicapai lebih awal. 

Beliau berkata, secara keseluruhan Sabah mempunyai 11,000 anggota tentera termasuk tentera darat, laut dan udara. Daripada jumlah itu, kira-kira 600 orang sahaja lagi yang belum divaksin. 

“Kita mahu anggota tentera yang merupakan barisan hadapan negara ini divaksin terutama anggota yang bertugas di sekatan jalan raya dan Op Benteng yang menjaga keselamatan di lautan serta di sempadan negara. 

“Penting untuk kita memberikan vaksin kepada seluruh anggota tentera sebagai persediaan untuk mempertahankan negara. Bayangkan jika seluruh kem tentera ini dijangkiti, kita tidak akan boleh menggerakkan anggota sekiranya berlaku apa-apa kejadian terhadap negara.

“Atas sebab itu, kita menyasarkan untuk memberikan vaksin kepada 99 peratus anggota tentera. Satu peratus yang tidak divaksin itu mungkin anggota yang bertugas di luar kawasan,” katanya selepas merasmikan program vaksinasi pandu lalu Tentera Darat Malaysia di Kem Lok Kawi hari ini.

Untuk hari ini, 636 orang anggota termasuk keluarga dan kakitangan awam menerima vaksin menerusi program pandu lalu tersebut.

Jelasnya, terdapat 8,065 anggota, keluarga dan kakitangan awam di Kem Lok Kawi dan setakat ini 6,500 orang sudah menerima suntikan vaksin. Bagi anggota tentera sahaja, terdapat 5,000 orang dan 4,800 daripadanya sudah divaksin.

Menurut Ismail Sabri, apabila proses vaksinasi melalui pandu lalu di kem itu selesai, program itu mungkin akan dilaksanakan di kem tentera lain yang terletak di Tawau, Lahad Datu dan Sandakan sekiranya terdapat keperluan untuk melaksanakannya.

Mengulas lanjut, katanya, Angkatan Tentera Malaysia turut mengwujudkan Combat Medic Vaccination Team (CMVT) bagi membantu kerajaan negeri memberikan vaksinasi di kawasan pedalaman menerusi Program Jiwa Murni.

“Bagi Sabah, kita menerima permintaan untuk melaksanakan program ini di 132 buah perkampungan. Maka, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti kawasan yang perlu diberi keutamaan.

“Ini usaha kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang ketinggalan daripada menerima vaksin termasuk rakyat di pedalaman yang berdepan kesukaran untuk keluar kerana tiada akses perhubungan jalan raya yang baik,” katanya.

Beliau menjelaskan, semasa pelaksanaan Program Jiwa Murni di Long Pasia, Sipitang pada 24 dan 25 Jun, seramai 227 daripada 500 orang penduduk  telah divaksin. 

“Kita mendapati ramai yang tidak turun untuk divaksin. Oleh itu, kita menyarankan penduduk untuk keluar menerima vaksin kerana ia penting bagi mencapai imuniti kelompok. 

“Mungkin ada kumpulan anti vaksin yang menyarankan penduduk tidak keluar menerima vaksin. Jadi, jangan terpengaruh dengan kumpulan sebegini kerana vaksin penting untuk keselamatan diri dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Malah, katanya, sekiranya penduduk di pedalaman ini dijangkiti Covid-19, sukar untuk mereka mendapatkan rawatan kerana kedudukan klinik kesihatan yang agak jauh.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Divisyen Kelima Infrantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN