GEORGETOWN: Enam buah hospital swasta di Pulau Pinang menyatakan kesediaan berfungsi sebagai Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) yang dijangka mula beroperasi pada 7 dan 14 Jun ini.
Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, enam buah hospital berkenaan adalah Hospital Lam Wah Ee; Hospital Loh Guan Lye; Hospital Pantai dan Hospital KPJ yang dijangka mula beroperasi pada 7 Jun manakala Penang Adventist Hospital dan Hospital Gleneagles pada 14 Jun.
“Semua pendaftaran dan temu janji di hospital-hospital itu juga adalah menerusi aplikasi MySejahtera sebagaimana ditetapkan PICK,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mempelawa mana-mana pihak sama ada organisasi, pertubuhan atau individu yang memiliki keupayaan menubuhkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tampil berbuat demikian.
Menurut Kon Yeow, usaha itu bagi bersama-sama kerajaan negeri dalam mempercepatkan program vaksinasi Covid-19 di negeri ini sekali gus mencapai matlamat imuniti kelompok menjelang akhir Oktober ini atau lebih awal.
Jelas beliau, kerajaan negeri ketika ini berhasrat untuk menambah sekurang-kurangnya tiga buah lagi PPV mega yang mampu memberikan perkhidmatan 5,000 dos suntikan dalam tempoh sehari.
Ujarnya, tambahan itu bagi menyokong operasi sebanyak 10 buah PPV yang sudah diluluskan iaitu masing-masing dua buah di lima daerah di negeri ini.
“Usaha ini juga susulan jaminan Menteri semalam yang mana Pulau Pinang akan dibekalkan bekalan vaksin yang mencukupi dalam tempoh ini bagi memastikan matlamat berkaitan dicapai sepenuhnya,” katanya
Dalam pada itu tambah Kon Yeow, program vaksin bagi kumpulan barisan hadapan ekonomi juga akan dimulakan bulan ini dengan memfokuskan kepada sektor industri pembuatan dan perkilangan terlebih dahulu sebelum disusuli dengan pembinaan dan pelancongan.
“Malah, atas usahasama kerajaan negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan melantik Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai salah sebuah PPV yang berkemungkinan menawarkan perkhidmatan pandu lalu seperti yang dipraktikkan di Kampus Kesihatan institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










