5,000 pengusaha cuci kereta bakal gulung tikar - Utusan Malaysia

5,000 pengusaha cuci kereta bakal gulung tikar

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 5,000 pengusaha pusat cucian kereta memohon kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk mereka menjalankan semula perniagaan yang ditutup ketika ini ekoran pelaksanaan sekatan penuh pergerakan.

Rata-rata pengusaha pusat itu kini buntu memikirkan nasib mereka yang hilang punca pendapatan dan terpaksa menanggung beban membayar sewa kedai, gaji pekerja serta menyara diri dan keluarga.

Jika berterusan, dibimbangi ramai pengusaha pusat itu akan gulung tikar dan paling menyedihkan terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Cuci Kereta Malaysia (PCKM), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, sewa tapak tetap perlu dibayar iaitu antara RM1,500 hingga RM4,000.

“Itu belum lagi ambil kira bayaran gaji pekerja setiap bulan, biasanya setiap pusat cucian kereta mempunyai pekerja antara tiga hingga lima orang.

“Ditambah lagi dengan pinjaman bank untuk kereta, rumah, motosikal dan tanggungan perbelanjaan keluarga, memang majoriti pengusaha pusat cucian kereta kini cukup-cukup terbeban.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, majoriti pengusaha pusat cucian kereta sudah menggunakan duit simpanan mereka, jika masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga hujung bulan ini, semua akan gulung tikar,” katanya di sini semalam.

Zuhairi berkata, kerajaan dirayu mempertimbangkan perkara itu seperti kebenaran yang diberikan kepada bengkel kenderaan dan kedai tayar.

“Ini melibatkan soal survival kehidupan mereka. Rata-rata mereka kini langsung tiada punca pendapatan. Bagaimana mereka hendak menyara keluarga dan membayar sewa serta hutang jika operasi pusat ini terus ditutup?

“Sejak menularnya Covid-19 dan pelaksanaan PKP, mereka mematuhi arahan kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) walaupun mengalami kemerosotan dalam perniagaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×