4 juta daftar pengguna e-dompet - Utusan Malaysia

4 juta daftar pengguna e-dompet

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program program kredit e-Penjana yang dilaksanakan pada tahun lalu menyaksikan pendaftaran sebanyak empat juta pengguna e-dompet baharu dan lebih daripada 36,000 peniaga mendaftar dengan penyedia e-dompet. 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, melihat kepada penggunaan menggalakkan itu, momentum itu diharap terus dikekalkan melalui Program e-Belia sebagai  kesinambungan usaha kerajaan dalam memacu peralihan  digitalisasi kewangan. 

Menurut beliau, daripada satu tinjauan umum mendapati orang ramai menggunakan lebih daripada satu e-dompet dan penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat dalam e-Belia secara keseluruhan mempunyai 30 juta pengguna aktif dan jaringan lebih sejuta peniaga di dalam dan di luar  talian. 

“Jaringan yang kukuh dan luas ini membolehkan program e-Belia ini dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara dan mencapai lebih  ramai belia dan pelajar,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program e-Belia, secara maya hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus mengutamakan belia terutama dalam merangka Belanjawan 2022, dan prosesnya perangkaannya sudah pun bermula. 

Seperti tahun lalu, kata beliau, pihaknya akan mengadakan sesi  libat urus dengan golongan belia bagi merangka Belanjawan 2022. 

Program e-Belia merupakan inisiatif Belanjawan 2021 yang  ditambah baik melalui program PEMERKASA, yang mana nilai kredit ditingkatkan dari RM100 ke RM150 bagi setiap penerima dengan dipadankan oleh penyedia e-dompet melalui pelbagai inisiatif tambahan seperti baucar, pulangan tunai (cashback) dan ganjaran mata (reward points).

Dengan peruntukan sejumlah RM300 juta program itu dijangka memanfaatkan dua juta rakyat Malaysia berumur 18 ke 20 tahun, serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa sekali gus mendorong perniagaan, terutamanya perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mula menerima kaedah pembayaran tanpa tunai.- UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN