19 lagi PPV IPT bakal dibuka - Utusan Malaysia

19 lagi PPV IPT bakal dibuka

SEORANG warga emas menahan rasa cemas ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Jempol baru-baru ini. Gambar hiasan - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Sebanyak 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bakal dibuka dalam masa terdekat sejajar usaha giat membantu kerajaan terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan memaklumkan, pada masa ini, terdapat 18 PPV IPT telah beroperasi di seluruh negara dengan empat lagi akan dibuka pada 21 Jun ini.

Ia membabitkan lokasi di Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Hospital UiTM Puncak Alam.

“Sebanyak 19 lagi PPV IPT dalam perancangan untuk dibuka menjadikan jumlah keseluruhan di IPT sebanyak 41 buah.

“Sehingga 11 Jun lalu, seramai 134,932 orang telah menerima vaksin di PPV IPT,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, kementerian memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan RM80 juta menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan Covid-19 melibatkan tiga Hospital Pengajar Universiti (HPU).

Ia melibatkan di UiTM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Katanya, peruntukan tambah itu juga dapat memperkasa peranan HPU yang telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan terhadap usaha membendung penularan wabak Covid-19 sejak 2020.

“Sejak Februari 2020 sehingga 31 Mei lalu, lima HPU terlibat secara langsung dalam merawat pesakit Covid-19 iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Sultan Ahmad Shah Medical Centre Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Hospital UiTM Sungai Buloh.

“Semua HPU ini berstatus hospital hibrid Covid-19 yang mana pesakit-pesakit bukan virus itu masih terus mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan di lokasi berkenaan,” kata kenyataan itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN