Ziarah ahli keluarga juga tidak dibenarkan - Ketua Polis Perlis - Utusan Malaysia

Ziarah ahli keluarga juga tidak dibenarkan – Ketua Polis Perlis

ANGGOTA Rela membantu melakukan pemeriksaan kenderaan keluar masuk ke Perlis di SJR Sanglang, Perlis-UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Aktiviti ziarah sempena Aidilfitri termasuk melibatkan kunjungan ke rumah ibu bapa atau keluarga tidak dibenarkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, hal demikian selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kenyataan (boleh ziarah ahli keluarga) dibuat sebelum ini selepas maklumat terperinci mengenai SOP belum dikeluarkan.

“Sekarang, MKN sudah keluarkan arahan tidak dibenarkan ziarah walaupun ke rumah ibu bapa dan keluarga mertua,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, tular video temubual antara Surina bersama stesen Radio Perlis.fm yang memaklumkan kebenaran ziarah antara ahli keluarga.

Dalam video berdurasi 1 minit 13 saat tersebut, Surina menjelaskan bahawa ziarah antara ahli keluarga dibenarkan bagi Aidilfitri ini, namun ziarah ke rumah kawan-kawan tidak boleh.

Terdahulu, Surina juga memaklumkan sekatan jalan raya (SJR) tidak akan ditambah di negeri ini dengan penduduk boleh bergerak melebihi jarak 10 kilometer bagi mereka yang mempunyai urusan.

Jelas Surina, Perlis adalah negeri yang kecil dan tidak mempunyai daerah seperti negeri-negeri lain.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan melaksanakan PKP di seluruh negara sehingga 7 Jun depan sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Untuk rekod, Perlis masih kekal sebagai zon hijau Covid-19 dengan kes aktif pula sekitar 11 termasuk tiga kes baharu kelmarin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya