Warga emas terus jadi korban terbanyak akibat Covid-19 - Utusan Malaysia

Warga emas terus jadi korban terbanyak akibat Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan peningkatan kes kematian akibat Covid-19 seramai 34 orang dengan 25 daripadanya adalah warga emas yang melibatkan pelbagai latar belakang penyakit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kematian yang direkodkan melibatkan di Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Kelantan, Kedah, Sabah, Melaka, Sarawak, Perak dan Terengganu.

Katanya, seramai 26 lelaki dan lapan wanita berusia antara 45 hingga 84 tahun menjadi korban pandemik Covid-19 dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kematian hari ini melibatkan lapan kes di Selangor, Johor (6), Kuala Lumpur (6), Kelantan (4), Kedah (3), Sabah (2), Melaka (2), Sarawak (1), Perak (1) dan Terengganu (1).

“Antara penyakit yang dikesan iaitu kencing manis, darah tinggi, gout, buah pinggang kronik, jantung, obesiti, dislipidemia, strok, kanser, hati kronik, paru-paru dan tuberkulosis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Malaysia turut mencatatkan penurunan kes positif baharu Covid-19 namun masih melebihi 4,000 kes iaitu 4,113 kes yang diatasi kes sembuh iaitu 4,190 kes dengan 13 kluster baharu dikesan.

Katanya, kes aktif menunjukkan sedikit penurunan iaitu 41,471 kes berbanding semalam, 41,582 kes manakala sebanyak 482 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 250 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Selangor masih merekodkan kes positif tertinggi iaitu 1,269 kes diikuti Sarawak, 533 kes; Kelantan, 371 kes; Johor, 335 kes; Kuala Lumpur, 306 kes; Pulau Pinang, 266 kes; Kedah, 228 kes; Pahang, 178 kes, Terengganu, 165 kes; Perak, 147 kes; Negeri Sembilan, 124 kes dan Melaka, 107 kes.

“Hanya satu negeri dan satu Wilayah merekodkan kes dua angka iaitu Sabah, 53 kes dan Putrajaya, 20 kes manakala Labuan, enam kes dan Perlis, lima kes,” katanya.

Mengulas mengenai 13 kluster baharu, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya mencatatkan empat kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Perindustrian Balakong di Hulu Langat, Selangor, 138 kes; Kluster Tanjung Dungun melibatkan Setiu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, dan Besut, Terengganu, 42 kes; Kluster Menara Jalan Putra di Kuantan, Pahang, 29 kes dan Kluster Persiaran Utara di Kota Tinggi, Johor, 16 kes.

Kluster Komuniti pula merekodkan empat kluster katanya, Kluster Bukit Pauh melibatkan Dungun, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Terengganu; Kuantan, Pahang dan Petaling, Selangor, 36 kes; Kluster Sungai Lebai di Pekan, Pahang, 26 kes; Kluster Sungai Rayah di Meradong, Sarawak, 13 kes dan Kluster Jalan Mawar Pasak di Kota Tinggi, Johor, 11 kes.

“Kluster keagamaan pula dua kluster iaitu Kluster Dah Mahsuri di Kubang Pasu, Kedah, 50 kes dan Kluster Kampung Batu Muda di Kepong, Kuala Lumpur, 17 kes.

“Kluster pendidikan juga merekodkan dua kluster iaitu Kluster Jalan Tegas melibatkan Petaling, Gombak, Klang, dan Hulu Langat, Selangor, 23 kes dan Kluster Lebuh Lembah Permai melibatkan Seberang Perai Tengah, Timur Laut, dan Barat Daya, Pulau Pinang, 15 kes manakala kluster Kumpulan Berisiko Tinggi hanya satu kluster iaitu Kluster Lebuh Katz di Timur Laut, Pulau Pinang, 36 kes,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.