PUTRAJAYA: Satu varian baharu Covid-19 kacukan varian India dan United Kingdom (UK) yang boleh merebak lebih pantas melalui udara, buat masa ini hanya dikesan di Vietnam sahaja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan rekod mendapati varian kacukan itu belum dikesan di Malaysia ataupun negara lain.
“Berdasarkan rekod, hanya empat varian dibimbangi (VOC) dikenal pasti iaitu UK, India, Brazil dan Afrika Selatan.
“Penemuan itu membimbangkan kerana dengan ia boleh menyebabkan kes bertambah dengan drastik apabila berkemampuan merebak dengan lebih cepat hingga boleh menyebabkan jumlah kematian meningkat,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan Menteri Kesihatan Vietnam, Nguyen Thank Long mendedahkan terdapat satu varian Covid-19 baharu ditemukan di negara itu yang boleh merebak lebih pantas melalui udara.
“Varian itu dipercayai kombinasi strain Covid-19 dari India dan Britain yang mempunyai ciri-ciri strain Covid-19 itu sekali gus menyaksikan kepekatan virus dalam cecair tekak meningkat dengan cepat dan merebak sangat kuat ke kawasan persekitaran,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan bilangan kes varian baharu yang direkodkan dan akan mengumumkan penemuan baharu itu dalam genetik strain di peta dunia.
Sebelum ini, terdapat tujuh varian Covid-19 dikenal pasti di negara itu.
Lebih 6,700 kes positif Covid-19 dengan 47 kes kematian direkodkan di Vietnam.- UTUSAN ONLINE










