Tutup sektor ekonomi ikut lokaliti - Utusan Malaysia

Tutup sektor ekonomi ikut lokaliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan menutup atau meminimumkan aktiviti ekonomi tertentu seperti pembinaan dan pengilangan untuk mengelak jangkitan dan kemunculan varian-varian baharu Covid-19 yang agak agresif perlu dibuat mengikut lokaliti.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, tindakan menutup atau meminimumkan aktiviti ekonomi tertentu sekali gus adalah keputusan yang sukar untuk dibuat oleh kerajaan.

Menurutnya, sehubungan itu jika berlaku kes Covid-19 di satu-satu lokaliti, maka adalah wajar sektor seperti kilang atau pembinaan di kawasan berkenaan juga harus ditutup sementara.

Katanya, adalah tidak adil jika sektor perkilangan dan pembinaan ditutup sekali gus.

“Pihak berkuasa perlu bertegas dalam melaksanakan arahan menutup sementara sesuatu sektor di lokaliti yang mencatat kes Covid-19 yang tinggi.

“Jika penilaian menunjukkan sektor kilang atau pembinaan di lokaliti terlibat perlu ditutup disebabkan kes Covid-19, maka ia hendaklah ditutup, siapa yang melanggar syarat prosedur operasi standard (SOP) terus tutup, yang lain pasti akan ikut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, walau apapun perkara paling utama untuk membendung jangkitan wabak berkenaan ialah mematuhi SOP yang ditetapkan terutama memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Katanya, dalam keadaan sekarang dengan varian baharu Covid-19 yang semakin agresif, hanya pematuhan SOP yang ketat dapat mengekal daripada dijangkiti.

“Sekarang jangkitan Covid-19, bukan hanya di sektor kilang atau pembinaan, tetapi di banyak sektor. Jadi hanya pematuhan SOP dalam kalangan setiap individu yang mampu menyekat penyebaran wabak ini,” katanya.

Beliau mengulas pandangan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid yang berkata, mengikut kadar keberjangkitan dan kemunculan varian-varian baharu yang agak agresif, kerajaan wajar memperketatkan SOP selain menutup atau meminimumkan aktiviti ekonomi tertentu.

Katanya, sektor pembinaan dan pengilangan terutamanya perlu ditutup buat sementara waktu demi memastikan tiada jangkitan berlaku secara sporadik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×