Tumpuan vaksin AstraZeneca di negeri zon merah - Utusan Malaysia

Tumpuan vaksin AstraZeneca di negeri zon merah

Janji temu vaksin AstraZeneca.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di seluruh negara.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan juga akan menumpukan pemberian suntikan vaksin berkenaan secara suka rela di beberapa negeri yang diisytiharkan sebagai zon merah akibat wabak Covid-19.

Ini sekiranya kerajaan mendapat jadual penghantaran jelas tentang lebih satu juta dos vaksin AstraZeneca ke dalam negara pada bulan ini.

Beliau turut yakin, dengan pembukaan lebih banyak PPVAZ, ia memudahkan kerajaan untuk mencapai imuniti berkelompok selaras di bawah program PICK atau lebih awal berbanding yang disasarkan.

“Kita akan menerima lebih banyak lagi penghantaran vaksin ini pada bulan ini juga. Kita beri tumpuan kepada negeri-negeri kawasan merah.

“Perbincangan sedang berjalan untuk memilih negeri-negeri yang sesuai untuk membuka PPV untuk orang ramai yang mahu suntikan secara suka rela,” katanya selepas meninjau pemberian suntikan vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL), di sini hari ini.

Untuk rekod, seramai 2,468 penerima vaksin yang menetapkan temu janji di WTCKL bagi hari pertama suntikan diberikan manakala di Universiti Malaya seramai 996 orang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejumlah 928 orang

Seramai 1,624 individu sudah menerima vaksin AstraZeneca di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas di sini dan Selangor, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kata Khairy, 682 individu terbabit menerima suntikan itu di PPV WTCKL, UM (449) dan UKM (493).

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan fasa tiga PICK yang dijadual bulan ini bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang ada.

Justeru itu, beliau berharap, ketika ini, fasa dua PICK membabitkan warga emas dapat berjalan seperti yang dirancang.

“Fasa tiga sepatutnya bermula pada Mei tapi saya tidak tahu sama ada kita cukup bekalan untuk memulakannya (bulan ini). Kita perlu membuat pengumuman mengenainya nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN