Tindakan Hamzah ancam doktrin pengasingan kuasa - Utusan Malaysia

Tindakan Hamzah ancam doktrin pengasingan kuasa

KETUA Koordinator Jingga 13 Melaka, S. Jeyamurali (tengah) bersama Timbalannya, Ammar Firdaus Suboh (kiri) dan Bendahari Jingga 13 Melaka, Ali Masud menunjukkan laporan yang dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu di Pejabat SPRM, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa mencampuri pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara tidak langsung mengancam doktrin pengasingan kuasa dan semak imbang yang diamalkan di negara ini.

Setiausaha Agung Jingga 13, Afzainizam Rahman berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap salah laku rasuah dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan ahli-ahli politik yang berkuasa termasuk yang melompat parti.

Katanya, SPRM juga perlu menyiasat dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung budaya rasuah yang berleluasa dan campur tangan pihak tertentu dalam PDRM.

“Seperti yang diberitahu Abdul Hamid, Hamzah telah campur tangan dalam pengurusan PDRM sejak dari awal beliau dilantik sebagai menteri. Tindakan ini mengancam doktrin pengasingan kuasa dan semak imbang yang diamalkan di negara ini.

“PDRM sebagai sebuah badan utama negara dalam mengangkat kedaulatan undang-undang seharusnya bersifat bebas daripada campur tangan politik dalam kawal selia pengurusan dalaman. Sikap gila kuasa telah merobek institusi PDRM bahkan mengundang keresahan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini Abdul Hamid mendakwa, Hamzah menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam urusan polis, selain unsur politik turut mencemari Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Ahli Parlimen Larut itu.

Dalam pada itu tambah Afzainizam, tindakan sebegini boleh mengundang berlakunya amalan rasuah dan salah guna kuasa malah lebih parah lagi apabila aduan dibuat kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara juga tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Jelasnya, SPRM sebagai badan yang bebas, telus dan profesional tidak perlu tunduk kepada mana-mana pihak dan harus berani menyiasat dakwaan tersebut.

“Jangan takut dalam menjalankan amanah yang diberikan. Pulihkan martabat agensi penguatkuasaan negara.

“Jingga 13 serta rakyat Malaysia tiada keraguan dan menanti maklum balas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki serta membuat tindakan tepat tanpa gentar. Tindakan tegas kepada tali barut jika terbukti bersalah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN