Tiga beradik beraya tanpa ibu bapa di Singapura - Utusan Malaysia

Tiga beradik beraya tanpa ibu bapa di Singapura

RABIATUL Adawiyah Mohd. Firdaus (kiri) bersama adik-adiknya, Muhammad Umar Fatih Al Jalani dan Su’mayyah Aw Fiyyah Dza’qirah tinggal di rumah datuknya di Lorong Haji Zawawi, Kampung Parit Semerah. -UTUSAN/ MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Syawal yang akan menjelang kurang 10 hari lagi menjadi Aidilfitri kedua bagi tiga beradik beraya tanpa ibu bapa mereka yang berada di Singapura sejak Februari tahun lalu disebabkan penutupan pintu sempadan negara.

Rabiatul Adawiyah Mohd. Firdaus, 7; Su’mayyah Aw Fiyyah Dza’qirah, 5; dan Muhammad Umar Fatih Al Jalani kini tinggal bersama datuk dan neneknya, Ibrahim Abd. Hamid, 72, dan Toemah Mat Yassir, 65.

Menurut Ibrahim, anak perempuannya, Hafizah Noryani, 37, dan menantunya, Mohd. Firdaus Sakari, 34, baru sahaja bekerja di negara republik itu pada tahun lalu tanpa menduga berlakunya pandemik Covid-19.

Katanya, Rabiatul Adawiyah kini bersekolah di tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmood Iskandar (1), manakala Su’mayyah Aw Fiyyah dan Muhammad Umar Fatih belajar di Tabika Kemas Kampung Parit Semerah.

“Hati datuk dan nenek mana yang tidak sedih dan sayu melihat kanak-kanak ini tanpa emak ayah pada hari raya bagi tahun kedua, tetapi, semua ini tidak mereka minta kerana mahu mencari rezeki di sana.

“Kami akan mengembirakan mereka seperti mana kanak-kanak yang lain dengan pakaian baharu serta juadah di pagi raya walaupun tanpa ibu bapa di sisi mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Haji Zawawi, Kampung Parit Semerah, di sini, semalam.

Tambah Ibrahim, sejak ibu bapa kanak-kanak itu berada di Singapura, mereka sekeluarga menjaga makan minum cucu-cucu selain menguruskan persekolahan dan menghantar ke tabika setiap hari.

“Anak saya seorang lagi, Herne Zulwana, 29, iaitu adik kepada Hafizah Noryani akan menguruskan semua keperluan anak-anak saudaranya yang memerlukan kasih sayang dan perhatian setiap masa,” ujarnya.

Katanya, selain ketiga-tiga cucunya yang dijaga ketika ini, dia juga mempunyai empat orang cucu lagi iaitu dua di Pulau Pinang dan dua lagi di Kuala Lumpur yang juga tidak dapat beraya di kampung pada tahun ini.

Sementara itu, Zulwana berkata, setiap malam kakaknya akan membuat panggilan video bagi bertanya khabar dan berbual-bual dengan anak-anaknya sekurang-kurangnya satu jam hingga dua jam.

Katanya, ibu mereka akan memasukkan wang belanja ke dalam akaun banknya setiap bulan sebagai perbelanjaan anak-anak saudaranya termasuk membeli pakaian dan mainan, perbelanjaan persekolahan dan sebagainya.

Ujar Zulwana, sebagai persiapan hari raya tahun ini, mereka telah membeli 10 helai pakaian untuk setiap seorang anak saudaranya dengan menggunakan wang yang diberikan oleh ibu bapa mereka.

“Sebagai ibu saudara, saya cuba untuk mengembirakan mereka dan menjaga keperluan kanak-kanak ini supaya mereka tidak merasa terlalu rindu kepada ibu bapa yang sedang mencari rezeki di seberang tambak sana,” katanya.

Ditanya sama ada keluarga di Pontian bercadang untuk menghantar kuih-muih sempena Hari Raya Aidilfitri kepada kakaknya di Singapura, Zulwana memberitahu kos untuk menghantarnya terlalu tinggi.

“Kami cuma berharap apabila tamat kontrak pada bulan Jun nanti, kakak dan abang ipar akan dapat balik ke Malaysia untuk bertemu ketiga-tiga anaknya yang pastinya mereka amat merinduinya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya