Tiada pilihan, laksana PKP penuh - Utusan Malaysia

Tiada pilihan, laksana PKP penuh

DR. AHMAD SHUKRI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jumlah kes jangkitan positif Covid-19 yang me­­ningkat setiap hari mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat termasuk petugas barisan hadapan yang berpandangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh atau total lockdown sebagai langkah terbaik membendung penularan wabak itu.

Kapasiti kemudahan kesihatan negara kini mencecah 85 peratus dan akan berada pada tahap kritikal sekiranya aliran kes Covid-19, terus meningkat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, penularan pandemik tersebut kini semakin tidak terkawal yang mana jika tidak dibendung secara berkesan, kes jangkitan boleh terus mendadak.

Jelasnya, dengan kes yang semakin meningkat, ia memberikan kesan psikologi kepada mental dan stamina pasukan barisan hadapan sekali gus boleh melunturkan semangat mereka.

“Maka sudah sampai masa­nya tindakan lebih komprehensif dan holistik diambil serta dilaksanakan secara besar-besaran dan lebih berkesan.

“Jadi, Perdim sokong total lockdown dan kerajaan perlu melaksanakan seperti mana PKP 1.0.

“Tiada siapa boleh masuk dan keluar dari Malaysia dan semua penerbangan juga perlu dihentikan, ia perlu menyeluruh kerana penularan pandemik ini semakin membimbangkan dengan munculnya varian-varian baru yang lebih dahsyat,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, sebanyak 12 lagi kes melibatkan varian South African B.1.351 dan satu kes varian Indian B.1.617 (sublineage B.1.617.2) di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, varian South African dikesan di Kedah, Perlis, Selangor dan Johor manakala varian Indian B.1.617 di Labuan.

Kata Noor Hisham, sebanyak 78 kes varian South African B.1.351 dan enam kes varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) dikesan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Difahamkan, varian-varian berkenaan menunjukkan kadar jangkitan yang amat membimbangkan.

Lebih membimbangkan, sa­ringan biasanya menunjukkan keputusan negatif walaupun pesakit sudah pada tahap serius.

Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Shukri berkata, dalam tempoh PKP menyeluruh dilaksanakan, kerajaan perlu memberikan tumpuan utama dan 100 peratus bagi menjayakan program vaksinasi kebangsaan.

“Program ini perlu lebih agresif kerana kita mahu rakyat di negara ini segera divaksin sekali gus membendung penularan jangkitan wabak ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu menyeru rakyat melaksanakan kawalan kendiri, mempertingkatkan kesedaran dan rasa takut serta melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih berkesan untuk diri dan keluarga.

“Dalam masa yang sama, kita perlu bersama menegur dan memperbetulkan keadaan apabila nampak pelanggaran SOP ditetapkan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN