Tiada kenderaan, alasan warga emas tidak hadir suntikan vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Tiada kenderaan, alasan warga emas tidak hadir suntikan vaksin Covid-19

MOHD. Faizal Abdul Manaf menyantuni penerima vaksin dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di PPV Dewan Dato' Bahaman, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Tiada kenderaan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 antara alasan yang diterima daripada warga emas di daerah ini yang menolak untuk hadir temu janji penerimaan suntikan vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, hari ini, seramai 76 daripada 210 orang warga emas yang sepatutnya menerima suntikan vaksin dos pertama tidak hadir pada hari pertama PPV Dewan Dato’ Bahaman di sini dibuka.

“Menukar fikiran di saat akhir dan tiada pengangkutan antara alasan yang diberikan kepada pihak kami kerana tidak dapat hadir untuk menerima suntikan vaksin. Ada juga alasan lain diberikan seperti berpuasa dan mempunyai penyakit bimbang terhadap kesan sampingan.

“Pihak kami bersedia bersama semua jabatan kerajaan lain untuk menyumbang pemandu dan kenderaan untuk mengambil warga emas yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke PPV. Ini selaras bagi menggalakkan mereka (warga emas) untuk menerima suntikan vaksin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPV di Dewan Dato’ Bahaman, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Faizal menjelaskan, pihaknya kesal pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin di Kuala Pilah antara terendah di negeri ini. 

“Saya dimaklumkan hanya 20,000 daripada 73,000 penduduk di daerah ini secara keseluruhan yang telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Saya berharap penduduk dapat mendaftar segera dalam aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan ini.

“Kami akan menggerakkan jawatankuasa pemerkasaan komuniti untuk turun padang dan bekerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Penyelaras Dewan Undangan Negeri serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk menyantuni terutamanya golongan warga emas untuk memastikan mereka mendaftar. Kami akan terus cuba memujuk dan membantu mereka mendaftar pengambilan vaksin Covid-19,” katanya. 

Selain itu, Mohd. Faizal memaklumkan, terdapat tiga lokasi PPV di daerah ini iaitu Dewan Dato’ Bahaman, Klinik Kesihatan Johol dan Klinik Kesihatan Juasseh. 

“Sebuah lagi PVV akan dibuka di daerah ini iaitu di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah bagi menampung keperluan penerima suntikan bagi fasa kedua dan ketiga. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya