JOHOR BAHRU: Tidak timbul isu pembelian panik yang berlaku di seluruh negara pada hari ini susulan pengumuman pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) sektor sosial dan ekonomi Fasa pertama bermula 1 Jun ini.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, rakyat Malaysia sudah berpengalaman dan bijak berhadapan dengan perkara itu setelah melaluinya pada Mac tahun lalu.
Katanya, tinjauan yang turut dibuat di beberapa pasar raya di bandar raya ini mendapati tidak berlaku pembelian panik cuma bilangan pelanggan bertambah ekoran hari cuti minggu dan keluar berbelanja pada hujung bulan.
Jelasnya, sejak awal pagi tadi, pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara telah diarahkan untuk membuat pemantauan bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku.
“Ada sesetengah tempat ditunjukkan di media sosial tunjuk pelanggan beratur panjang. Keadaan itu berlaku disebabkan jumlah had pelanggan yang dihadkan berada dalam premis dan hal ini tidak seharusnya disensasikan.
“Saya rasa sebahagian besar pengguna sudah matang menghadapi situasi tersebut dan rata-rata daripada mereka membeli dalam jumlah yang munasabah setelah mendapat maklum pengumuman yang dibuat semalam.
“Tidak dinafikan ada segelintir pengunjung yang masih panik berbelanja dan saya harap perkara itu tidak berlaku dan tidak berterusan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan situasi pembelian di sebuah pasar raya di Jalan Tebrau, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, sehingga pukul 12 tengah hari, keadaan di kebanyakan pasar raya kembali pulih seperti biasa dengan jumlah pengunjung yang semakin berkurangan.
Katanya, pengguna juga dinasihatkan untuk merancang dahulu pembelian sebelum berkunjung ke pasar raya bagi memastikan pembelian yang dibuat adalah bersesuaian dalam kuantiti yang munasabah. -UTUSAN ONLINE










