Tengkorak, serpihan tulang manusia ditemukan dalam parit  - Utusan Malaysia

Tengkorak, serpihan tulang manusia ditemukan dalam parit 

TENGKORAK yang ditemukan di dalam parit di kawasan sawah padi di Batu 18, Guar Cempedak, Yan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Satu tengkorak bersama beberapa serpihan tulang manusia ditemukan di dalam parit di kawasan sawah padi di Batu 18, Guar Chempedak di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, tengkorak dan serpihan tulang itu ditemukan seorang pemotong rumput ketika membersihkan semak di situ pada pukul 5.15 petang.

“Sebaik sahaja menerima laporan, polis bergegas ke lokasi dan dengan bantuan pihak bomba, kita menemukan tengkorak serta beberapa serpihan tulang terendam di dalam air di parit tersebut.

“Semakan selepas mengumpul semua tulang di situ mendapati tiga tulang tangan tiada dipercayai telah dihanyutkan air atau dilarikan haiwan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, siasatan di lokasi turut menemukan sehelai baju kemeja dan kain pelikat dipercayai milik mangsa.

“Tiada dokumen pengenalan diri mangsa ditemukan dan siasatan awal di lokasi juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

“Pihak kita kemudian membuat semakan melalui rekod orang hilang dan mendapati satu laporan dibuat pada 15 Mac lalu membabitkan seorang lelaki berusia 84 tahun yang beralamat di Jalan Batu 18, Guar Chempedak,” jelasnya.

Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan untuk pengesahan sebenar identiti mangsa.

“Kesemua tulang serta tengkorak dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN