KOTA TINGGI: Sukan triathlon dilihat mampu menjadi satu platform terbaik untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini berdepan krisis kesihatan membimbangkan.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, penyertaan dalam sukan yang menggabungkan tiga cabang utama iaitu renang, berbasikal dan larian mampu menyemai disiplin serta meningkatkan tahap kecergasan individu.
Beliau turut menekankan kepentingan menjadikan penyertaan dalam sukan itu sebagai budaya dan agenda nasional dalam usaha menangani masalah obesiti serta diabetes yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Lebih 50 peratus rakyat Malaysia kini mengalami berat badan berlebihan, satu pertiga mengalami obesiti dan dalam kalangan itu pula, kira-kira 35 peratus menghidap diabetes. Angka ini bukan menurun, malah terus meningkat dari tahun ke tahun dan memberi kesan besar kepada sistem kesihatan negara.
“Sukan adalah antara jalan terbaik untuk menangani masalah ini, bukan sahaja untuk kesihatan diri tetapi demi masa depan anak cucu kita,” katanya ketika ditemui media pada acara 113 International Triathlon Desaru Malaysia 2025 di sini hari ini.
Katanya, sukan triathlon adalah antara jalan terbaik kerana ia mencabar fizikal dan mental secara menyeluruh.
“Kita dari Johor sampai ke Perlis, Sabah dan Sarawak perlu adaptasi gaya hidup sihat. Saya sendiri baru mula menyertai sukan ini tahun lepas, dan kini sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan hobi saya.
“Hari ini saya menyertai kategori 113 kilometer yang melibatkan 2.25 kilometer berenang, 90 kilometer berbasikal dan 21 kilometer larian,” katanya lagi.
Beliau berkata, tiada sasaran besar diletakkan untuk penyertaan kali ini kerana lebih menumpukan kepada pengalaman dan persediaan menghadapi kejohanan peringkat dunia.
“Saya tidak meletakkan expectation yang tinggi di atas kesilapan tahun lepas dan tahun ini saya cuma nak enjoy (seronok) dan have fun (bergembira).
“Acara kali ini juga merupakan latihan dan persiapan untuk Kejohanan Dunia Ironman di Nice, Perancis pada bulan September dan Ironman Langkawi pada bulan November nanti,” katanya. – UTUSAN










