KOTA TINGGI: Desaru terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa apabila menerima lebih 900 peserta dari 25 negara sempena kejohanan 113 International Triathlon Desaru Malaysia 2025 yang berlangsung hari ini.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus berkata, penganjuran edisi kesembilan itu sebagai bukti komitmen berterusan pihak penganjur dalam memartabatkan sukan triatlon di Johor serta mengangkat Desaru sebagai hab sukan dan pelancongan bertaraf dunia.
“Penganjuran acara seperti ini bukan sahaja meningkatkan penyertaan sukan dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa, malah memberi impak ekonomi yang besar kepada komuniti setempat,” katanya ketika merasmikan acara pelepasan di Sand & Sandals Desaru Beach Resort and Spa, di sini hari ini.
Katanya, kemudahan infrastruktur yang semakin lengkap termasuk kewujudan hotel bertaraf antarabangsa, penginapan bajet dan lokasi rekreasi menjadikan Desaru pilihan utama penganjur acara sukan dan pelancong luar negara.
Acara triathlon yang menggabungkan disiplin renang, berbasikal dan larian itu turut menjadi platform terbaik mempromosikan gaya hidup sihat, selain menyokong inisiatif Tahun Melawat Johor 2026.
“Penganjuran ini selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan destinasi ini sebagai antara lokasi pelancongan terkemuka di rantau ini. Ia membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan sektor perhotelan, makanan dan pengangkutan, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan,” katanya.
Dengan sambutan memberangsangkan setiap tahun, beliau yakin acara ini akan terus menjadi antara agenda utama dalam kalendar sukan Johor dan menjadi tarikan utama pelancongan sukan di peringkat antarabangsa. – UTUSAN










