JOHOR BAHRU: Dua tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas, Pontian dan Jemaluang, Mersing dijangka dapat bertahan bagi tempoh tiga tahun lagi ekoran penggunaan tanah yang hampir mencapai tahap maksimum.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, daripada lapan tapak pelupusan sampah di negeri ini, kedua-dua tapak terbabit telah menjangkau usia lebih 25 tahun.
Justeru kata beliau, pihaknya membangunkan kemudahan baharu yang dapat menukar sisa buangan kepada tenaga sebagai inisiatif memanjangkan jangka hayat kedua-dua tapak berkenaan.
“Walaupun tempoh jangka hayat bagi dua tapak pelupusan sampah berkenaan dijangka sehingga 2024, namun ia belum kritikal. Dengan pengurusan yang betul, kita dapat memanjangkan jangka hayatnya.
“Pengguna juga boleh membantu dengan mengurangkan penjanaan sampah yang perlu dihantar ke tapak pelupusan pada tahap minimum dengan membuat pengasingan sisa pepejal di punca yang bermula dari rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri dan Berbuka Puasa SWM Environment Bersama Media yang turut dihadiri Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin di sini semalam.
Cairul Hisham berkata, kos pengurusan sisa pepejal secara purata di negeri ini dianggarkan berjumlah RM535 juta setahun.
Katanya, ia merangkumi kos pelupusan, kos dibayar kepada konsesi untuk kutipan sisa pepejal, kerja-kerja memotong rumput, membersihkan longkang mahupun kempen kesedaran.
Mengulas mengenai kempen kesedaran katanya, ia memperlihat hasil dengan pengurangan kepada 901,000 tan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan pada tahun lalu.
“Jumlah itu menunjukkan pengurangan berbanding 947,000 tan sampah yang dihantar pada 2019 yang dianggarkan penurunan itu sebanyak lima peratus.
“Pada masa sama, SWCorp dalam perancangan membuka tapak baharu di Bukit Payung, Batu Pahat. Ia akan dibina di tanah seluas 42.18 hektar yang dijangka beroperasi menjelang suku ketiga tahun ini.
“SWCorp juga merancang untuk membuka dua lagi pusat pemindahan sampah di Pontian dan Muar,” katanya.