‘Tak mampu beli gajet untuk anak’ - Utusan Malaysia

‘Tak mampu beli gajet untuk anak’

NOR Azizah Nordin (tengah) memantau anak-anaknya, Muhammad Zhafran Hakim (kiri) dan Nur Zatul Athirah ketika sesi PdPR di kediaman mereka di Perumahan Awam II, Malim Nawar. – UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Kemiskinan menjadi penghalang terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kepada sebuah keluar­ga di sini.

Ini kerana gaji ketua keluarga sebagai tukang rumah tidak sebesar mana untuk membeli gajet atau peralatan untuk setiap anaknya mengikuti sesi PdPR dengan lebih selesa.

Itu yang dialami seorang bapa, Baharin Young Ghazali, 52, yang hanya berpendapatan sekitar RM800 sebulan melalui kerjanya sebagai tukang rumah untuk tiga anak yang masih bersekolah mengikuti PdPR.

Isterinya, Nor Azizah Nordin, 47, berkata, jika diikutkan hasrat hati dia pasti mahu membeli komputer riba untuk setiap anak namun akur suaminya tidak berkemampuan.

Katanya, mujur anak pertama, Nor Azimah Baharin, 26, anak ketiga, Muhammad Hakimi Baharin, 22, dan anak keempat, Nur Zatul Amirah Baharin, 21, telah bekerja dan membantu keperluan mereka.

Ibu kepada tujuh orang anak itu berkata, tiga lagi anaknya, Nur Zatul Athirah, 16; Muhammad Haris Hakim, 14, dan Muhammad Zhafran Hakim, 8, terpaksa belajar secara PdPR dengan kemudahan gajet yang terhad.

“Dua anak lelaki akan berkongsi telefon saya secara bergilir-gilir untuk menerima modul latihan yang dihantar guru masing-masing tetapi apabila kelas mereka berjalan serentak, salah seorang
daripada mereka terpaksa tidak hadir ke kelas.

“Kami juga terpaksa me­nambah perbelanjaan sehingga RM100 sebulan untuk membeli data internet dan membayar peranti internet untuk kedua-dua telefon bagi memastikan anak-anak dapat mengikuti PdPR,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Perumahan Awam II, Malim Nawar di sini semalam.

Menurut Nor Azizah, ba­gai­manapun kekurangan itu tidak menghalang anak-anaknya me­ngikuti PdPR malah dia sentiasa memberi sokongan dan memantau anak-anaknya semasa sesi PdPR.

“Saya tidak mahu anak-anak tercicir dalam pelajaran mereka,” katanya.

Sementara itu, anak kelima Azizah, Nur Zatul Athirah, 16, berkata, pembelajaran secara PdPR agak menyukarkan.

Katanya, dia sukar untuk memahami subjek tertentu terutama Prinsip Perakaunan, Perniagaan dan Sains Sukan yang memerlukan bimbingan secara bersemuka daripada guru-guru.

“Sukar untuk fokus di rumah kerana kurang bimbingan jika tidak memahami sesuatu perkara. Perbelanjaan juga bertambah kerana terpaksa mengeluarkan wang untuk mencetak bahan-bahan pembelajaran yang perlu dihantar kepada pengawal keselamatan dua kali seminggu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN