KUANTAN: Sudah sampai masanya kerajaan bertindak lebih tegas dengan mewajibkan rakyat di negara ini mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, ketegasan itu diyakini dapat mengubah ‘pemikiran lama’ rakyat khususnya orang Melayu masih selesa berubat dengan cara sendiri atau kampung.
“Kesedaran itu sebenarnya sudah ada, tapi ia belum menyeluruh dan saya rasa perlu ketegasan di pihak kerajaan. Kalau kita lihat kaum lain seperti Cina mereka telah mula sedar kepentingan vaksin ini tetapi orang Melayu masih rendah,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas tentang tahap penerimaan rakyat terhadap suntikan vaksin Covid-19 yang masih rendah.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, rakyat seharusnya sedar bahawa pengambilan vaksin itu bertepatan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW yang menyuruh umat Islam berikhtiar dan tidak mencampakkan diri ke dalam kebinasaan dengan menolak pengambilannya.
“Selain itu, mengambil vaksin adalah bertepatan dengan konsep Maqasid Syariah yang menekankan kepada kepentingan memelihara nyawa,” katanya.
Beliau berkata, Islam mementingkan penjagaan kesihatan, kerana tubuh badan adalah pinjaman Allah SWT yang perlu dijaga sebaik mungkin.
“Sebab itu dalam ajaran Islam melarang umatnya melakukan mudarat bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga orang lain,” katanya.
Beliau juga mengingatkan umat Islam supaya mengambil sumber maklumat tentang vaksin berkenaan daripada pihak berkuasa dan jangan mengambil sumber yang tidak sahih.
“Penerangan tentang vaksin juga perlu jelas dan ia perlu dilakukan oleh pihak yang sepatutnya seperti hospital atau doktor bagi memberikan kesedaran kepada rakyat mengambil suntikan itu,” katanya. -UTUSAN










