SJR diperketat kerana banyak helah pulang beraya - Utusan Malaysia

SJR diperketat kerana banyak helah pulang beraya

ABD. Rahim Jaafar (kanan) pada sidang akhbar di Taman Desa Impian, Senai di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemeriksaan polis di sekatan jalan raya (SJR) sempena Aidilfitri ini terpaksa diperketat ekoran terdapat banyak helah digunakan orang ramai semata-mata untuk pulang ke kampung halaman mereka.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, pihaknya memahami sentimen masyarakat namun mereka hanya menjalankan tanggungjawab.

Jelasnya, keputusan dan undang-undang dibuat kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) manakala polis hanyalah agensi pelaksana.

“Saya faham sentimen orang ramai, mereka marah pada polis kerana terpaksa berbaris sehingga dua atau tiga jam. Tetapi tindakan polis adalah untuk memastikan arahan kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19.

“Kita tidak mahu ada yang terlepas dan menipu kita, kerana banyak taktik yang digunakan orang ramai sekarang, pelbagai surat diberikan kepada kita.

“Sebagai contoh di SJR Bentong, sebuah van dinaiki 15 orang memaklumkan mereka pergi bekerja di Terengganu. Namun apabila disiasat dengan teliti rupa-rupanya mereka gunakan pas kerja untuk balik raya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Abd. Rahim, pihaknya turut menafikan kesesakan yang berlaku di SJR adalah disebabkan polis hanya membuka satu laluan untuk melakukan pemeriksaan dokumen.

“Kita ada laluan khas untuk lori yang terlibat dengan aktiviti ekonomi, kerana kita tahu kerajaan beri kebenaran agar kegiatan ekonomi berjalan lancar.

“Oleh itu, yang kita periksa adalah kenderaan lain, kereta, motosikal dan sebagainya yang lalu, itu kita terpaksa periksa satu persatu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan polis telah mengeluarkan lebih 100,000 kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) kebiasaan baharu.

“Kompaun itu melibatkan pelbagai kesalahan dengan yang paling banyak adalah kesalahan tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan sosial.

“Namun operasi ketika ini lebih banyak tertumpu kepada kelab malam yang banyak dibuka, itu kita beri kompaun maksimum RM50,000,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN