BESUT: Situasi Covid-19 di Terengganu ketika ini disifatkan jauh lebih teruk berbanding ketika seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan itu dipengaruhi peningkatan mendadak kes wabak di Besut akibat aktiviti keluar masuk penduduk merentas sempadan Terengganu-Kelantan.
Malah katanya, bilangan kes positif Covid-19 yang direkodkan di Besut pada hari ini cukup tinggi dengan 45 kes berbanding jumlah keseluruhan sebanyak 71 kes.
“Sekiranya perkara ini tidak dikawal kita akan melihat pergerakan kes positif Covid-19 berhijrah ke daerah terdekat di Setiu yang kini turut mencatatkan pertambahan jangkitan dalam tempoh beberapa hari lepas.
“Paling menakutkan jika Covid-19 menular ke seluruh daerah di Terengganu, jadi saya merayu rakyat agar mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana jika kes melonjak tinggi sehingga berlarutan berbulan-bulan, sukar untuk diturunkan sebagaimana yang berlaku di negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tok Saboh di sempadan Terengganu-Kelantan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, peningkatan jumlah kenderaan masuk ke Terengganu menjelang Aidilfitri turut dikhuatiri menyumbang kepada pertambahan kes positif Covid-19 terutama jika melibatkan mereka dari zon merah.
Sebanyak 14 mukim di Besut kini dikenakan PKP selama 14 hari dari 7 hingga 20 Mei ini susulan peningkatan kes mendadak dengan kadar kebolehjangkitan tinggi iaitu 95 peratus.










