Sebutan semula kes Daei Syed pada 5 Julai - Utusan Malaysia

Sebutan semula kes Daei Syed pada 5 Julai

Da'i Syed
SYED Shah Iqmal hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebutan semula kes penceramah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau Daei Syed yang berdepan pertuduhan merogol seorang wanita ditetapkan pada 5 Julai hadapan di Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Rihaida Rafie menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd. Saubian menyerahkan dokumen laporan perubatan dari Hospital Kajang.

Menurut Nor Baizura, laporan daripada Jabatan Kimia masih belum diperoleh dan memohon tempoh tiga minggu untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen itu.

Sementara itu, mewakili tertuduh, peguam Syed Amirul Syed Edros tidak membantah dan akan menunggu semua dokumen untuk diteliti sebelum menunggu arahan lanjut anak guam.

Malah, Syed Amirul ketika ditemui pemberita memaklumkan pihaknya tidak akan menghantar representasi sebaliknya akan terus kepada proses perbicaraan pertuduhan tersebut.

Dalam pada itu, Syed Shah Iqmal ketika ditemui di luar mahkamah kelihatan tenang dan bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa dan Aidilfitri bersama ibunya.

Syed Shah Iqmal menyifatkan berada bersama ibunya adalah sesuatu yang menyenangkan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Gembira sebab dapat berpuasa dan beraya dengan mama walaupun dalam PKP. Tahun ini, beraya di Bandar Tropicana Aman berhampiran Bandar Saujana Putra.

“Malah, perniagaan biskut dan tudung juga mendapat sambutan daripada pelanggan,” katanya.

Pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah rumah di Seksyen 7 di sini, pukul 11.35 malam pada 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Malah, Syed Shah Iqmal juga berdepan dengan pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Dia juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya dengan pendakwaan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di sebuah rumah di Damansara Perdana antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya