``Saya marah kerana diperdaya'' - Najib - Utusan Malaysia

“Saya marah kerana diperdaya” – Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau marah kerana diberi gambaran yang tidak benar berhubung kandungan surat sokongan
bagi pelaksanaan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau merasa diperdaya kerana kandungan surat itu yang disampaikan kepadanya adalah bertentangan dengan hasrat sebenar pihak UMS ketika memohon kelulusan untuk kerja-kerja operasi di universiti itu.

Kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan bagi sistem mekanikal dan elektrik itu melibatkan Bangunan Fasa 2B, Bangunan dan Infra di Kampus Induk dan bangunan lain di UMS.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-12 memberitahu, bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony telah menghantar surat bagi memohon penyambungan kontrak berkenaan selama lima tahun dan UMS dikatakan menyokong permohonan itu.

Kandungan surat itu menyebut pihak UMS menyokong pelaksanaan kontrak itu diberikan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd. yang dikatakan akan bekerjasama dengan ULink Property Sdn. Bhd. dan memohon perkongsian itu diluluskan.

Beliau menerima surat itu bersama-sama surat dari Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang ditandatangani oleh Pendaftar UMS Lt. Kol (K) Datuk Abdullah
Mohd. Said.

Bagaimanapun, Najib dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Azmi bahawa pihak lembaga tidak pernah mengeluarkan surat atau memberikan sebarang sokongan atau persetujuan untuk memberikan kontrak tersebut kepada Asli Jati, sebaliknya pihak universiti telah melantik REMT Utama Sdn. Bhd.

Menurut saksi, jika mengetahui surat-surat tersebut dibuat tanpa pengetahuan dan persetujuan Ahli Lembaga Pengarah UMS, beliau tidak akan mempertimbangkan apa-apa kontrak atau penyambungan kontrak kepada Asli Jati Engineering.

Ujar Najib, beliau juga percaya bahawa surat-surat tersebut mendapat mandat daripada pengurusan UMS kerana terdapat minit sokongan berupa tulisan tangan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beliau memutuskan meluluskan permohonan UMS untuk mengekalkan pelantikan REMT Utama bagi kerja-kerja operasi kampus induk UMS, Sekolah Pertanian Lestari Sandakan dan Pusat Rawatan Luar Sikuati Kudat.

Beliau turut meluluskan permohonan Asli Jati untuk menyambung kontrak kerja-kerja penyelenggaran di bangunan Fasa 2A dan Kampus Antarabangsa Labuan untuk tempoh tiga tahun.

Ujar Najib, beliau tidak akan melayan surat Peter jika mengetahui isi kandungannya bertentangan dengan hasrat UMS manakala Peter juga tidak memaklumkan perkara sebenar kepada beliau.

Ujar bekas Perdana Menteri, beliau berasa marah dan tidak boleh menerima sebarang bentuk penipuan sambil menafikan beliau cuai selaku Menteri Kewangan ketika meluluskan permohonan tersebut yang disifatkannya dilakukan dengan niat yang baik.

Menurut Najib, jika tidak menerima nasihat atau maklumat daripada Zaki yang juga bekas Ketua Hakim Negara, beliau tidak mempunyai pengetahuan bahawa penipuan telah berlaku.

Ujar bekas Perdana Menteri, beliau hadir ke mahkamah memberi keterangan kerana tidak menyukai sebarang bentuk penipuan demi menjaga reputasi dirinya, kerajaan dan pihak UMS.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala pendakwaan diwakili oleh peguam Munawar Kabir Mohd. Zainal Abidin dan Datuk D. Sentinathan.

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 26 Julai ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya