'Saya bukan zalim' - PM - Utusan Malaysia

‘Saya bukan zalim’ – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bukanlah satu keputusan yang popular, malah kerjaan bukan bertindak zalim apatah lagi ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu dibuat demi lindungi nyawa rakyat kerana jika membenarkan aktiviti ziarah rumah ke rumah boleh mengakibatkan jangkitan Covid-19 memandangkan ramai pesakit tidak menunjukkan apa-apa simptom, malah dia sendiri tidak tahu dijangkiti.

SItuasi itu kat beliau, pada akhirnya sebaik sahaja habis merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif Covid-19 di negara ini berkemungkinan melonjak ke puluhan ribu sehari.

“Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok. Sudahlah tak boleh balik kampung. Nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah kerajaan ini?

“Saudara-saudari, saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari. Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, mana lah tahu ada tetamu yang datang ke rumah saudara-saudari itu positif Covid-19.

“Ini kerana ramai pesakit Covid-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom. Dia sendiri pun tidak tahu dia dijangkiti. Situasi seperti ini akan menyukarkan lagi usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri.

Muhyiddin berkata, situasi Covid-19 di negara ini dengan mencatatkan trend peningkatan kes yang mendadak sejak beberapa minggu lalu dan lebih membimbangkan terdapat varian-varian baharu yang lebih ganas, bukanlah satu perkara main-main.

Maka, kata Perdana Menteri, keputusan sukar itu mesti dibuat walaupun tidak popular dan mungkin tidak memuaskan hati semua pihak.

Namun, pada hemat beliau, ia satu keputusan tepat yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan semua.

“Saya faham dan sedar anda marah kepada saya tetapi ini ikhtiar saya dan kerajaan untuk jaga nyawa saudara dan saudari. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah SWT.

“Saya bukan nak mengatakan dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan ini memberi 100 peratus jaminan bahawa angka-angka Covid-19 di negara kita tidak akan meningkat. Tidak.

“Sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana kita semua patuh kepada SOP yang ditetapkan. Ia bergantung kepada disiplin kendiri kita masing-masing. Sejauh mana kita berdisiplin dan beristiqamah dalam melawan virus ini,” katanya.

Dalam hal ini, Perdana Menteri merayu kepada seluruh rakyat untuk meningkatkan disiplin diri, patuhilah SOP pada setiap masa, duduklah di rumah kerana wabak Covid-19 akan menjadi lemah jika rantaiannya dapat diputuskan.

Untuk meningkat lagi keberkesanan tindakan kesihatan awam dalam memerangi Covid-19, ujar beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia akan meningkatkan ujian saringan dan melaksanakan pengesanan kontak yang lebih meluas dalam tempoh PKP ini.

“Tak perlulah ke sana sini kalau tiada urusan penting. Kita hidup di zaman pandemik. Samalah seperti kita hidup di zaman perang. Kita mesti mencari perlindungan di setiap masa untuk menyelamatkan nyawa dan perlindungan yang terbaik ialah di rumah kita sendiri. Anggaplah ini sebagai suatu pengorbanan untuk kita bersama-sama melawan pandemik ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkeyakinan kita boleh berjaya melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 sebagaimaan dalam gelombang pertama dan mampu mengurangkan angka-angka jangkitan dalam gelombang kedua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN