Rakyat Selangor mahu PKP penuh - Utusan Malaysia

Rakyat Selangor mahu PKP penuh

KEADAAN lengang di sebuah pusat beli-belah di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rakyat di negeri ini mendesak kerajaan segera melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh susulan peningkatan kes Covid-19.

Rata-rata mereka menyuarakan rasa bimbang dan menyatakan PKP penuh seperti tahun lalu perlu dilaksanakan seketika bagi menghentikan penularan wabak tersebut.

Seorang peniaga, Shawaludin Kamdi, 35, berkata, PKP penuh seperti Mac tahun lalu adalah cara terbaik untuk kerajaan mengelak kes jangkitan Covid-19 daripada terus meningkat.

“Sekiranya kita lihat semula kepada pelaksanaan PKP 1.0, Malaysia dapat menurunkan kes sehingga satu digit dalam tempoh tiga bulan.

“Oleh demikian, saya melihat kerajaan tiada pilihan selain melaksanakan PKP penuh sebelum keadaan menjadi lebih mudarat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang peniaga sayur-sayuran, T. Kok Kien, 54, berkata, dia sendiri berasa tidak selamat untuk berniaga kerana khuatir dijangkiti virus terbabit.

“Kerajaan Selangor perlu bertindak cepat mengambil langkah sepatutnya untuk mengurangkan kes jangkitan yang sedang tinggi waktu ini.

“Jika tidak mahu PKP penuh dilaksanakan, mereka perlu tegas mengarahkan pemilik premis atau kilang ditutup yang pekerjanya ramai dijangkiti Covid-19,” tegasnya.

Dalam pada itu, seorang pegawai eksekutif perakaunan, M. Ushananthini, 29, berkata, petugas perubatan barisan hadapan kini sedang bekerja keras untuk merawat pesakit Covid-19.

“Jika dilihat, di akhbar dan media sosial terpampang gambar petugas barisan hadapan yang kelihatan keletihan memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) untuk berjam lamanya.

“Saya berharap masyarakat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sambil menunggu keputusan yang akan diambil kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di sebuah pusat beli-belah terkenal di Seksyen 7 di sini mendapati tidak ramai pengunjung yang berkunjung di pusat berkenaan.

Malah pusat beli-belah tersebut juga tidak membenarkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun masuk apabila meletakkan papan tanda di pintu masuk utama.

Statistik kes Covid-19 semalam menunjukkan sebanyak 4,865 kes baharu yang mana Selangor masih lagi menjadi negeri mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,743 kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN