Polis mungkin akan panggil Chow Kon Yeow untuk beri keterangan - Utusan Malaysia

Polis mungkin akan panggil Chow Kon Yeow untuk beri keterangan

SAHABUDIN ABD. MANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow atau pegawai di pejabatnya mungkin akan dipanggil memberi keterangan untuk melengkapkan kertas siasatan berhubung tawaran sumbangan vaksin Covid-19 Pulau Pinang.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, polis juga telah merekodkan keterangan seorang lelaki berusia 50-an yang telah menawarkan sumbangan vaksin berkenaan kepada kerajaan negeri.

“Lelaki berkenaan mengaku surat tersebut ditulis sendiri olehnya, malah dia juga telah menandatangani surat itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan, beberapa lagi pihak termasuk Ketua Menteri atau pegawai di pejabatnya akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan kes ini,” katanya di sini hari ini.

Selasa lalu, kerajaan negeri meminta Kementerian Kesihatan memberi kelulusan menerima sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 dari sebuah syarikat swasta, namun permohonan pertama mereka ditolak.

Bagaimanapun Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengesahkan sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 oleh syarikat berpangkalan di Hong Kong itu adalah tawaran palsu.

Menurutnya, setakat ini seramai tujuh individu direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Polis juga kini sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung syarikat Xintai Development Enterprise Ltd. (Xintai). Ia bertujuan mengesahkan sama ada syarikat tersebut menawarkan sumbangan vaksin berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu Sahabudin berkata, siasatan lanjut mungkin mengambil sedikit masa untuk dijalankan kerana pihak polis perlu mendapatkan maklumat berhubung syarikat itu di Hong Kong.

“Pihak polis juga perlu meneliti beberapa perkara serta maklumat berhubung dengan siasatan kes tersebut. Kes disiasat itu menurut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN