PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengupas isu berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 dalam temu bual eksklusif menerusi saluran RTM dan Bernama TV malam ini.
Muhyiddin tampil dalam program temu bual eksklusif itu pada pukul 9 malam yang boleh ditonton di RTM TV1 dan Astro 502 Bernama TV.
Memetik laporan Bernama, Program Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 Eksklusif Bersama Perdana Menteri itu akan menyentuh persoalan konsistensi prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme penetapannya, kelangsungan ekonomi negara pada era pandemik serta momentum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Diterbitkan secara kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), temu bual eksklusif dihoskan oleh Wan Syahrina Wan Ab. Rahman daripada Bernama TV bersama Terrence Dass (RTM) itu akan menemui penonton pada 9 malam.
Bernama TV juga akan menyiarkan siaran ulangan temu bual eksklusif itu pada pukul 2 pagi, 8 pagi dan 4 petang esok (24 Mei), jam 12 tengah malam Selasa (25 Mei) serta 9.30 pagi dan 5 petang Rabu (26 Mei).
Siaran Bernama TV boleh diikuti di Astro 502, myFreeview 121, unifi TV 631, Live Facebook & YouTube Bernama TV.










