PETALING JAYA: Strategi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini mesti berbeza berbanding sebelum ini dengan penekanan harus diberikan kepada usaha mengesan komuniti berisiko secara menyeluruh terutama di zon merah seluruh negara.
Pakar perubatan kesihatan awam Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Brig. Jen. Dr. Mohd. Arshil Moideen berkata, untuk itu, kerajaan perlu meningkatkan proses vaksinasi dan ujian saringan Covid-19 bagi melandaikan lekuk jangkitan dengan lebih pantas.
Malah, tegasnya, penguatkuasaan undang-undang secara tegas perlu dilaksanakan supaya kesilapan dalam PKP sebelum ini tidak berulang yang hanya menuntut negara melaksanakan PKP setiap kali jangkitan Covid-19 meningkat.
“Jika kita terlalu menggunakan perintah ini, saya tidak rasa kita mampu bertahan dalam situasi yang sukar ini terutama bagi pemain industri kecil dan sederhana malah mungkin kita akan berdepan situasi yang lebih getir dan dahsyat.
“Memang PKP pertama adalah yang paling berkesan, cuma melalui pengalaman kita tahu apa yang akan berlaku terutama terhadap ekonomi negara dan peniaga-peniaga kecil.
“Bagi pemulihan semua ekonomi pula mengambil masa berminggu atau bulan dan rakyat tidak boleh menunggu selama ini tanpa sumber pendapatan. Jadi, dengan cadangan yang disebut, saya yakin akan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP ketiga di seluruh negara sebagai langkah tegas bagi mengekang penularan wabak Covid-19 naik secara mendadak.
Keputusan itu turut mengambil kira kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan prosedur operasi standard (SOP) segelintir masyarakat.
PKP kedua sebelum ini dilihat gagal susulan kadar kebolehjangkitan (R-Naught) Covid-19 meningkat dengan kes merekodkan lebih 3,000 sehari.
Sementara itu, pakar ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sekiranya kerajaan mempertimbangkan untuk kembali dengan PKP pertama yang dilihat lebih efektif menangani wabak, perbincangan melibatkan semua pihak adalah mustahak.
“Kesihatan adalah paling utama, tetapi keadaan ekonomi negara juga tidak boleh diketepikan. Naratif kebiasaan baharu juga perlu diamalkan sepenuhnya.
“Jadi, sebarang usaha untuk menangani masalah ini adalah melalui keputusan yang betul dan konsensus,” katanya. – UTUSAN










