PUTRAJAYA: Tuduhan mengatakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 gagal adalah tidak benar kerana pelaksanaannya berjaya mengelak Malaysia merekodkan kes positif lima angka sekali gus mewujudkan gelombang besar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, melihat kepada pelaksanaan PKP 1.0 dan PKP 2.0 sememangnya mempunyai perbezaan namun kerajaan perlu mengimbanginya dengan kehidupan manakala kesihatan dan ekonomi.
Katanya, pihaknya mengakui pelaksanaan PKP 1.0 amat ketat dan keterlaluan tapi PKP 2.0 lebih memberi tumpuan kawasan sasaran dengan beberapa sektor penting dibenarkan beroperasi.
“Ada yang kita dengar mengatakan PKP 2.0 gagal tetapi sebenarnya tidak gagal malah berjaya mengawal penularan dan peningkatan kes positif yang tinggi. Melihat kepada kes paling kemuncak pada 30 Januari lalu dengan merekodkan 5,728 kes selepas pelaksanaan PKP 2.0 pada 13 Januari.
“Bayangkan sekiranya tiada PKP 2.0, sudah pasti kes akan meningkat kepada lima angka atau 10,000 kes atau 20,000 kes ataupun lebih. Malah jangkaan Institute for Health Metrics and Evaluation United State menyatakan minggu pertama Mac lalu sebanyak 20,000 kes tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana pelaksanaan PKP 2.0,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Hari ini, Malaysia merekodkan peningkatan mendadak kes positif baharu Covid-19 iaitu 4,519 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 2,719 kes.
Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 25 kematian dan 16 kluster direkodkan manakala kes aktif terus menunjukkan peningkatan iaitu 36,564 kes berbanding semalam iaitu 34,789 kes.
Sebanyak 393 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 210 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.










