Perkasakan ekonomi digital sepanjang PKP - Kaukus Negara - Utusan Malaysia

Perkasakan ekonomi digital sepanjang PKP – Kaukus Negara

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan rakyat termasuk pengguna, pembeli, peniaga, usahawan, pengusaha, penjaja dan penjual menggembleng tenaga memperkasakan ekonomi digital sebagai kaedah terbaik memenuhi urusan jual beli “on demand” sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, rakyat tidak perlu mengeluh dan merungut, sebaliknya perlu berinovasi terhadap keadaan semasa dengan menjadikan diri sebagai pengguna atau peniaga yang mampu mengekalkan momentum ekonomi niaga dalam keadaan apa jua sekalipun.

Sehubungan itu, pihaknya menggalakkan penggunaan platform internet termasuk aplikasi teknologi dalam urusan perniagaan dan ekonomi digital yang mampu meningkatkan jualan dan belian lebih 65 peratus berdasarkan permintaan “on demand”.

“Langkah penutupan Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri sebagai contohnya perlu dilihat dari aspek yang ada hikmahnya dengan persediaan pengguna dan peniaga yang boleh terus beralih kepada platform atas talian bagi tujuan membeli dan menjual barangan, juadah atau perkhidmatan yang ditawarkan secara efektif dan selamat.

“Kita mempunyai pelbagai platform atas talian yang merancakkan perniagaan masing-masing dan pada masa sama, kesejahteraan peniaga perlu terus disantuni dan pampasan atau bantuan kerajaan secara “one-off” dilihat sebagai satu langkah yang sangat terpuji,” katanya.

Pada masa sama, Razali percaya kelompok peniaga perlu lebih ke depan untuk menyertai platform e-niaga, e–mart, e-kitchen, e-pasar, e-penghantaran, e-jualan, e-dagang dan sebagainya.

“Pulangan ekonomi digital ini sangat besar, malahan sebuah firma perunding strategi menganggarkan bahawa ekonomi digital Malaysia bernilai lebih RM270 bilion yang menyumbang kepada 18 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Krisis Covid-19 ketika ini turut memberi kesan yang telah mempercepat pertumbuhan ekonomi digital. Sebagai contohnya, pelbagai syarikat telah wujud selaku peneraju “super aplikasi” yang menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan harian on demand merangkumi penghantaran, pengangkutan, restoran dan makanan, pasar dan barangan runcit, pembayaran mudah alih dan kewangan menjadikan kehidupan harian sangat mudah,” katanya.

Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berpandangan lebih banyak peneraju aplikasi diperlukan dan diperkasakan seperti Agrobazaar atas talian yang menyediakan jualan produk segar dan industri asas tani yang telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.17 juta bermula Mac hingga November 2020 lalu bagi tempoh PKP.

“Ini satu usaha yang sangat baik dan wajib dipraktiskan pada masa ini supaya peralihan ekonomi sedia ada kepada ekonomi digital penting bagi merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara. Secara am, banyak ruang serta peluang dapat diteroka dalam dunia digital. Kemahiran berniaga ditambah kemahiran digital bakal memberi ruang untuk usahawan meneroka lebih jauh, di samping pengguna mempunyai pilihan yang alternatif.

“Kuasa internet termasuk adanya siaran langsung media sosial serta kaedah penularan pemasaran media dalam dunia digital boleh mencetus fenomena baharu keusahawanan. Rakyat Malaysia sendiri juga perlu mewujudkan kemampanan perniagaan, sekali gus mencipta peluang perniagaan, pekerjaan dan pendapatan rakyat secara menyeluruh,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN