Penuntut tabah beraya berjauhan daripada keluarga - Utusan Malaysia

Penuntut tabah beraya berjauhan daripada keluarga

MOHD. Ley Fadzly Plesly (kanan) bersama rakan kolej kediaman menghias ruang bilik sempena sambutan Aidilfitri di Kolej Kediaman Nilam Court, Nilai baru-baru ini. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun penuntut universiti dibenarkan pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri bersama keluarga, namun Mohd. Ley Fadzly Plesly, 19, membuat keputusan untuk beraya di kampus.

Penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakauan dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, tiket penerbangan yang mahal antara faktor yang menyebabkannya terpaksa membuat keputusan tersebut.

“Memang sedih tidak dapat pulang berhari raya di kampung halaman memandangkan tiket penerbangan agak mahal di tambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini di seluruh negara.

“Saya ambil keputusan ini sejak pertengahan Ramadan lagi, saya telah menelefon ibu dan ayah dan memaklumkan tidak dapat pulang berhari raya pada tahun ini. Setiap hari selepas berbuka puasa saya akan menelefon keluarga di kampung untuk melepaskan rindu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mohd. Ley yang berasal dari Tawau, Sabah berkata, tahun ini merupakan pertama kali buatnya menyambut hari raya berjauhan bersama keluarga.

“Biasanya sekarang saya mesti sibuk membantu ibu sebagai persediaan hari raya selain membantunya berniaga kuih raya secara kecil-kecilan di sekitar kampung. Pada tahun ini, ibu hanya dapat pos kuih raya yang dibuatnya sendiri kepada saya.

“Selain itu, saya juga khuatir untuk pulang kerana kampung di sana tiada kemudahan jadi saya ambil keputusan untuk menyiapkan segala tugasan yang diberikan pensyarah sepanjang beraya di kolej kediaman pada tahun,” katanya.

Seorang lagi pelajar USIM, Ahmad Haziq Ahmad Eaddie Hafizi, 21, yang berasal dari Kampung Seberang Takir, Terengganu berkata, dia tidak pulang ke kampung kerana khuatir risiko penularan wabak Covid-19 terutama kepada keluarganya.

“Saya sudah memaklumkan ibu dan bapa mengenai keputusan saya ini dan mereka pada mulanya sedih namun akhirnya memahami dengan keputusan yang dibuat. Saya juga memikirkan kes harian yang agak tinggi dan mahu keluarga selamat di rumah.

“Selain itu, saya terikat dengan ujian selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. Jadi, saya boleh meluangkan masa menyiapkan tugasan dan menumpukan perhatian kepada ujian nanti,” katanya yang merupakan penuntut semester empat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perumahan Pelajar USIM, Mohd. Salehudin Sukor berkata, pihaknya akan menyediakan makanan khas bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri di pagi raya bagi penuntut yang tidak pulang ke kampung.

“Pihak kami akan menyediakan makanan kepada seramai 66 penuntut tempatan dan 40 penuntut antarabangsa pada pagi raya bagi mereka yang tidak dapat pulang ke kampung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya