Peniaga lemang ambil Rela kawal lalu lintas, jaga SOP Covid-19 - Utusan Malaysia

Peniaga lemang ambil Rela kawal lalu lintas, jaga SOP Covid-19

PENJUAL lemang Warisan Bukit Selambau terpaksa menggunakan khidmat anggota Rela untuk mengawal lalu lintas dan kesesakan orang ramai yang sanggup beratur panjang mendapatkan lemang dijualnya di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Pengusaha lemang terpaksa mendapatkan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawal lalu lintas termasuk kesesakan keluar masuk pelanggan di hadapan gerai di Jalan Sungai Rusa di sini hari ini.

Bukan setakat itu, para pelanggan juga sanggup beratur panjang kira-kira setengah jam bagi menunggu giliran membeli lemang pada saat-saat akhir sebelum menyambut kedatangan 1 Syawal esok.

Rata-rata pelanggan mengatakan mereka sanggup berdiri lama semata-mata mahu mendapatkan juadah warisan popular dari Bukit Selambau, Kedah itu.

Peniaga Lemang Warisan Bukit Selambau, Roslan Hashim, 46, berkata, pihaknya bertindak sedemikian bagi tujuan mengekang penularan wabak Covid-19 termasuk mengelak dikenakan kompaun ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Dia yang mengusahakan perniagaan itu dengan seorang lagi rakannya, Azizan Shahban, 42, sejak empat tahun lalu memberitahu, sambutan jualan lemangnya kali ini amat menggalakkan dengan menerima jumlah tempahan lebih 1,700 batang sejak semalam.

“Kami membakar lemang selama 24 jam tanpa henti sejak petang semalam dengan menggunakan sebanyak 50 kilogram beras pulut.

“Memang kami tak cukup rehat dan tidur semata-mata demi kepuasan pelanggan lama dan baharu.

“Kami sangat mementingkan kualiti pulut yang dihasilkan manakala pelanggan pula tidak kisah beratur lama biarpun hanya untuk sebatang lemang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu seorang pelanggan, Alia Ahmad, 35, berkata, lemang merupakan hidangan wajib setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri dan dianggap sebagai juadah penguat hubungan kekeluargaannya.

“Kali ini saya terpaksa membeli lemang disebabkan tidak dapat pulang beraya bersama ibu bapa di kampung halaman di Baling, Kedah.

“Jika di kampung, lemang menjadi lambang pengikat silaturahim kerana proses penyediaan dari mencari buluh sehinggalah membakar dengan kayu api akan dilakukan secara gotong-royong bersama ahli keluarga saya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN