Pengembara dari Singapura wajib kuarantin 14 hari - Utusan Malaysia

Pengembara dari Singapura wajib kuarantin 14 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua individu yang tiba dari Singapura wajib menjalani kuarantin di Stesen Kuarantin yang ditetapkan selama 14 hari mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, langkah itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan menyenaraikan Singapura sebagai negara yang melaporkan Variant of Concern (VOC) SARSCoV-2 di dalam komuniti.

Katanya, Kementerian Kesihatan telah menyemak semula prosedur pengurusan pengembara yang tiba dari Singapura bagi semua kategori kemasukan termasuk melalui skim Reciprocal Green Lane (RGL) dan Periodic Commuting Arrangement (PCA) susulan laporan kewujudan VOC SARSCoV-2 di negara itu.

“Sehubungan itu, pada Isnin lalu, Kementerian Kesihatan telah menyenaraikan Singapura sebagai negara yang melaporkan VOC SARSCoV-2 di dalam komuniti.

“Justeru, mulai esok, kesemua pengembara yang tiba dari Singapura akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari. Bagi yang masuk menggunakan skim PCA juga perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

“Bagi skim RGL Malaysia-Singapura adalah digantung buat sementara waktu di peringkat Malaysia mulai esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, individu yang ingin masuk ke negara ini dari negara republik itu bagi tujuan perniagaan perlu menggunakan saluran One Stop Centre (OSC) yang disediakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Beliau memberitahu, permohonan boleh dibuat melalui Sistem MyEntry milik Jabatan Imigresen.

“Individu yang masuk melalui OSC boleh diberikan pengecualian dari menjalani tempoh kuarantin wajib dengan beberapa syarat tertentu antaranya tempoh tinggal di Malaysia tidak melebihi 14 hari dan telah menjalani ujian PCR Covid-19 dengan keputusan negatif tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia.

“Mereka juga perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 sepanjang masa dan pihak penaja wajib menyediakan pengangkutan khusus dan memastikan individu tersebut tidak menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Katanya, langkah ini diambil bagi mengurangkan risiko pengembara menyebabkan penularan varian baharu dalam komuniti di negara ini.

Sehingga kini, seramai 3,026 pelawat masuk ke negara ini melalui skim RGL manakala seramai 30,017 pelawat masuk menggunakan skim PCA.

Jumlah kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pengguna kedua-dua skim ini adalah sebanyak enam kes sehingga kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.